Sistem Ekonomi Islam Sesuai Sebagai Ganti Sistem Kapitalis Barat

SELASA, 26 NOVEMBER 2013 09:17

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 21 Nov 2013 – Sistem ekonomi berdasarkan prinsip Islam adalah pilihan terbaik untuk perkembangan kewangan negara berbanding kapitalisme Barat yang menggalakkan ketidak seimbangan sosial.

Profesor Adjung Ekonomi dan Kajian Pembangunan di Universiti Malaya, Tan Sri Dr Kamal Salih berkata amalan pasaran bebas mempunyai banyak cacat-cela dan hanya telah mewujudkan ketidaksamaan sosial dan ekonomi.

Berucap pada Syarahan Peringatan ke-9 Ishak Shari di sini hari ini bertajuk Menggunakan Kes Malaysia Untuk Mencari Paradigma Baru Ekonomi, Dr Kamal berkata pandangan Islam mengenai ekonomi adalah lebih adil dan saksama bagi semua pihak.

Syarahan peringatan itu dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa ( IKMAS ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Kamal memberi contoh bahawa kaedah cukai penggunaan yang bakal dikuatkuasakan di Malaysia, adalah suatu sistem percukaian yang ditetapkan dalam Islam. Kini ia dikenali sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai  Tokok Nilai( VAT). Prinsip ini adalah untuk mengenakan bayaran ke atas penggunaan barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian bekalan, dengan beban cukai akhirnya ditanggung oleh pengguna terakhir, tidak seperti yang sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST ).

Satu lagi contoh yang berasal dari Islam adalah konsep rakan-kongsi liabiliti terhad (LLP), yang mana sebahagian atau semua rakan-rakan mempunyai liabiliti terhad. Maka ia menunjukkan unsur-unsur perkongsian yang adil dalam syarikat. Bagi LLP,  seorang rakan kongsi tidak bertanggungjawab ke atas salah laku atau kecuaian rakan kongsinya yang lain. Ini berbeza daripada perkongsian tradisional tanpa had di mana setiap rakan kongsi mempunyai liabiliti bersama dan berasingan. Dalam LLP, beberapa rakan kongsi mempunyai bentuk liabiliti terhad yang serupa dengan para pemegang saham syarikat.

Beliau menjelaskan bahawa sistem kapitalis telah menjadikan Malaysia terlalu bergantung kepada pelaburan asing yang sebenarnya boleh menjejaskan ekonomi jika terdapat kemerosotan di negara-negara pelabur.

Sistem kapitalisme Barat, katanya, tidak membawa keadilan sosial kepada masyarakat Malaysia.

Di Malaysia kelas “menengah” sebenar tidak wujud secara jelas, kerana separuh daripada penduduk adalah di tangga terbawah pendapatan mempunyai hanya 21.5% daripada jumlah keseluruhan pendapatan berbanding dengan hanya 10% penduduk paling atas yang memiliki sehingga 32% kekayaan. Baki 40% daripada penduduk memiliki 46.5% daripada kekayaan.

Ini bermakna separuh daripada penduduk Malaysia – tanpa mengira kaum – memiliki harta kurang daripada kelas  pertengahan. Jurang perbezaan ini terus kekal selama tiga dekad yang lalu dan tidak ada perubahan dilakukan untuk menentukan pengagihan pendapatan yang lebih seimbang.

Demikian pula negara-negara kapitalis memberi keutamaan kepada pemilikan, kuasa dan jurang kehidupan antara pemodal dan pekerja. Sistem kapitalis sememangnya tidak sama rata dan menggalakkan kedudukan songsang.

Beliau berkata ramai cendekiawan mengkaji kehendak Islam untuk menjadikannya lebih relevan dengan keadaan semasa.

Bukti relevannya adalah kejayaan kewangan dan perbankan Islam dalam menerajui sistem kewangan. Malahan negara-negara Barat pun kini sudah mula menerima pakainya. Beberapa cendekiawan menjangkakan perbankan Islam akan bergabung dengan perbankan konvensional. Perbezaannya ialah ia diamalkan tanpa riba.

Hadir pada ceramah itu pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli. Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin telah memperkenalkan Dr Kamal.

Siri kuliah peringatan Ishak Shari adalah sempena Prof Ishak Shari (1948-2001), seorang akademik dan penyelidik terkemuka yang asalnya dilatih sebagai ahli ekonomi. Namun Prof Ishak sentiasa memandang di luar bidangnya dan telah mencebur diri dalam hal sains sosial secara keseluruhan, terutamanya persoalan keadilan masyarakat.

Memulakan kariernya sebagai pensyarah pada tahun 1972, beliau menaiki tangga akademik dan dilantik Profesor Ekonomi Pembangunan pada tahun 1991, Dekan Fakulti Ekonomi (1988-1990) dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah (1994-1997).

Pada tahun 1997, beliau telah dilantik sebagai Pengarah IKMAS, sebuah institut penyelidikan sains sosial di UKM. Beliau memegang jawatan itu sehingga kembali ke rahmatullah. Kepimpinan Prof Ishak telah mendorong IKMAS menjadi pusat serantau yang dihormati kerana kajian globalisasi dan transformasi.