Wanita Vietnam Melawat UKM

SELASA, 26 NOVEMBER 2013 16:18

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 15 Nov 2013 – Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap dapat mengadakan kerjasama dengan Kesatuan Wanita Vietnam (KWV) selaras dengan matlamatnya melatih wanita menjadi pemimpin hingga boleh membuat keputusan penting.

Ini adalah berikutan dengan lawatan rombongan KWV ke Pusat itu baru-baru ini yang diketuai Naib Presidennya Dr. Nguyen Thi Thu Ha. Turut serta ialah Puan Tranthi Mih Huong dari Bahagian Hubungan Antarabangsa KWV.

Pengarah Pusat Tun Fatimah, Prof Madya Dr Madeline Berma berharap lawatan itu akan menjadi titik permulaan bagi kedua pihak menjalin kerjasama demi kepentingan kaum wanita kedua-dua buah negara.

Pusat itu, katanya, menjalankan pelbagai usaha penyelidikan mengenai kepentingan wanita serta menganjurkan aktiviti dan latihan bagi mereka.

Cabaran yang dihadapi ialah walau pun jumlah mahasiswa wanita dalam semua universiti di Malaysia kini telah mencecah 70%, kaum wanita hanya memenuhi 40% sahaja dari tenaga kerja negara dan kurang dari angka itu yang memegang jawatan kanan yang boleh membuat keputusan.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Naib Presiden NCWO, Dato’ Ramani Gurusamy; Pengurus Pemasaran Wanita Inspirai Negara (WIN) Puan Sukma Buyong; Pengarah Urusan WIN Puan Sri Devi; Felo Pusat Tun Fatimah Prof Madya Dr Faridah Shahadan dan Prof Madya Dr Zaharah Hassan, Cik Rozita Ibrahim serta pelajar-pelajar PhD, Zahra Khajeh (dari Turki) dan G.T. Madhubhash (Sri Lanka) serta Perancang Perkahwinan, Pn Nadia Abas.

Dr Berma berkata dengan kerajaan kini memberi galakan kepada majikan mengambil lebih ramai wanita sebagai pekerja termasuk mereka yang memegang jawatan kanan latihan untuk wanita menjadi pemimpin menjadi lebih penting.

Kesatuan Wanita Vietnam mempunyai 15 juta ahli di seluruh Vietnam dan mempunyai Akedeminya sendiri untuk mengajar dan melatih wanita muda Vietnam menjadi pemimpin.

Pusat Tun Fatimah bergembira kiranya suatu MoU dapat diadakan antara kedua institusi itu. Ini akan membolehkannya melakukan lebih banyak penyelidikan, pengajaran dan latihan serta membantu wanita Malaysia mengadakan rangkaian kerjasama dengan wanita Vietnam.