15 Ekor Lembu Dikorbankan Di UKM

JUMAAT, 18 OKTOBER 2013 08:42

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Othman, Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Okt, 2013 –  Sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah 1434H anjuran Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Majlis kali ke-31 itu diadakan di tempat letak kereta Masjid Universiti di sini pagi ini.

Pegawai Hal Ehwal Islam UKM, Khairil Khuzari Omar berkata Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menyumbangkan seekor lembu masing-masing untuk upacara itu.

Yang lainnya adalah sumbangan daripada pelbagai fakulti dan pusat pengajian UKM.

Ketua Imam Ustaz Muhd Hafiz Osman mengetuai upacara yang dimulakan pada pukul 7 pagi. Turut hadir Naib Canselor Tan Sri Dato’ Seri Prof Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim.

Prof Sharifah Hapsah kemudiannya telah menyampaikan bungkusan daging korban kepada peserta dan orang ramai yang hadir.

Seramai 150 orang kakitangan UKM yang menganggotai 15 jawatankuasa kecil telah bekerjasama dalam semangat gotong-royong hingga membolehkan penyembelihan dan pembahagian daging selesai sebelum waktu Zuhur. Mereka dibantu oleh 12 orang anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PELAPES) UKM.

Sebanyak tiga ekor lembu yang pertama disembelih digunakan untuk memasak lauk pada jamuan tengah hari yang diadakan di tapak itu.

Mereka yang menyertai korban kali ini dikenakan bayaran RM380 setiap satu bahagian lembu dan menerima tiga kilogram daging seorang.