2012 Tahun Paling Hangat Dalam Rekod

SABTU, 19 OKTOBER 2013 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 11 Okt 2013 – Tahun 2012 adalah tahun yang paling hangat dalam rekod dan tidak ada keraguan lagi bahawa iklim dunia sedang memanas, seperti juga atmosfera dan lautan.

Jawatankuasa Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menegaskan bahawa paras laut juga telah meningkat lebih cepat dalam tempoh 110 tahun lalu berbanding seribu tahun sebelumnya.

Naib Pengerusi kumpulan kerja IPCC untuk negara-negara membangun, Prof Dr Fredolin Tangang berkata hasil penyelidikan di Malaysia adalah sejajar dengan penemuan IPCC itu, yang di terbit pada akhir bulan September.

Beliau adalah pengerusi Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (Iklim) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM). Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik ke jawatan IPCC itu.

Bercakap di ceramah dan forum yang dianjurkan ASM dan Suruhanjaya Tinggi British di sini hari ini, beliau berkata  pada akhir abad ini suhu dunia akan meningkat kepada antara 2 hingga 5 darjah Celsius jika tindakan sewajar untuk mengatasinya tidak diambil sekarang.

Pemanasan lautan merupakan sebahagian besar peningkatan haba yang disimpan di dalam sistem iklim dan menyumbang lebih daripada 90% daripada tenaga yang terkumpul di antara tahun 1971 dan 2010.

Beliau berkata pengaruh manusia ke atas sistem iklim adalah sangat jelas dan pengurangan pelepasan karbon dan gas rumah hijau diperlukan bagi menghadkan perubahan iklim.

Kadar kenaikan aras laut sejak pertengahan abad ke-19 adalah lebih tinggi berbanding dua ribu tahun sebelumnya. Sepanjang tempoh tahun 1901-2010, purata paras laut global meningkat sebanyak 0.19 m.

Beliau berkata tidak ragu-ragu lagi pemanasan iklim berlaku sejak tahun 1950-an, manakala banyak perubahan yang diperhatikan tidak pernah dilihat selama beberapa dekad sebelum ini.

Laporan itu menyebut bahawa tiga dekad yang lalu adalah lebih panas daripada yang sebelumnya. Juga hampir pasti lautan di kawasan utara dunia menjadi semakin hangat pada tahun 1971-2010 dan ia mungkin juga mengalami fenomena itu antara tahun 1870-an dan 1971.

Sejak dua dekad yang lalu, kepingan ais di Greenland dan Antartika telah cair pada tahap yang tidak disangka. Jumlah salji dan air batu telah berkurangan, paras laut telah meningkat dan kepekatan gas rumah hijau juga telah meningkat.

Lautan menjadi lebih berasid disebabkan oleh pelepasan karbon yang semakin meningkat.

Perkara utama yang lain terkandung dalam laporan IPCC itu adalah:

• Karbon dioksida telah meningkat 40% sejak sebelum berlakunya ledakan perkembangan industri lebih daripada 200 tahun yang lalu
• Beberapa kawasan akan menjadi lebih lembap manakala yang lain lebih gersang
• Cuaca/iklim ekstrem akan menjadi lebih kerap dan kuat
• Perubahan suhu permukaan dunia menjelang akhir abad ke-21 mungkin melebihi 1.5 darjah Celsius dan
• Paras laut dunia akan terus meningkat pada abad ke-21.

Forum ASM telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Ibrahim. Turut hadir ialah felo ASM Prof Low Pak Sum, penyelidik dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Gary Theseira dan Penasihat Politik kepada Pesuruhjaya Tinggi British, Nigel Bond.

Prof Fredolin telah menyertai sesi kumpulan kerja yang menghasilkan laporan IPCC yang diadakan dari 23-26 September 2013 di Stockholm, Sweden.