Belia Australia Lebih Cenderung Tinggal Di Desa

JUMAAT, 25 OKTOBER 2013 00:00 ADMINISTRATOR

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Okt 2013 – Belia Australia didapati lebih cenderung mahu tinggal di desa untuk berdekatan dengan keluarga tidak seperti dijangka ramai bahawa mereka suka kehidupan bebas di bandar.

Suatu kajian selama 25 tahun yang dilakukan di benua itu mendapati jumlah belia yang lebih cenderung untuk tinggal di kawasan luar bandar untuk berdekatan dengan keluarga semakin meningkat.

Seorang ahli sains sosial dari University of Melbourne, Profesor Dr Johanna Wyn yang membentangkan hasil kajian itu di sini hari ini berkata ia menunjukkan belia masih mempunyai hubungan yang kuat dengan keluarga dan lebih gemar tinggal di kawasan perkampungan.

Syarahan umumnya itu dianjurkan oleh Pusat Perkasa Remaja, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) .

Beliau berkata 80 peratus daripada mereka yang ditemu ramah tinggal dekat dengan tempat kediaman ibu bapa mereka. Ini menunjukkan mereka menghargai pertalian kekeluargaan kerana ia membuat mereka tidak berasa keseorangan.

Kajian itu, katanya, memberi gambaran kuatnya pengaruh kekeluargaan dan tempat kepada belia setelah meninggalkan dunia persekolahan.

Kajian itu telah pun dijelaskan dalam sebuah buku bertajuk Young People Making it Work. Ia menilai kehidupan generasi Australia selama dua dekad setengah.

Di sebalik tabir perubahan sosial, ekonomi dan persekitaran, buku itu menceritakan bagaimana generasi muda Australia berusaha untuk mengekalkan hubungan dengan keluarga dan tempat yang mereka sayangi.

Ini melangkaui tanggapan yang kawasan pendalaman kurang mempunyai peluang.

Apabila umur mereka semakin meningkat, belia itu mula sedar apa yang mereka menghargai ialah hubungan kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat.

Belia yang mengambil bahagian dalam penyelidikan itu berhijrah ke bandar untuk membina kerjaya. Kemudian mereka mulai sedar bahawa kehidupan di bandar bukanlah apa yang mereka idam-idamkan dan telah merancang untuk keluar dari kepompong itu supaya dapat menjalin hubungan kuat dengan sanak keluarga serta komuniti setempat.

Hadir di syarahan tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato Dr Rahmah Mohamed, pelajar dan pensyarah.

TERAKHIR DIKEMASKINI PADA JUMAAT, 08 NOVEMBER 2013 08:05