Kurniaan Ijazah PhD Kehormat Kepada Rektor Universitas Padjajaran

SABTU, 26 OKTOBER 2013 17:45

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 26 Okt 2013 – Rektor Universitas Padjajaran Bandung, Prof Dr Ir Ganjar Kurnia hari ini dianugerahkan Ijazah kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Pendidikan) pada Majlis Konvokesyen Ke-41 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Beliau telah menyandang jawatannya itu sejak 2007 dan dalam tempoh itu telah berperanan penting menjalin kerjasama erat dalam pelbagai bidang antara kedua universiti itu.

Antara kerjasama mereka ialah pelaksanaan Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) yang telah berlansung secara bergilir antara kedua universiti itu selama hampir 30 tahun.

Sebelum menjadi Rektor, beliau mendukung kuat kerjasama dan kolaborasi pendidikan tinggi yang merangkumi persidangan, penyelidikan, pertukaran kepakaran, kajian penandaarasan, pertukaran pelajar dan pelaksanaan program akademik.

Dalam pidato menerima anugerah itu, beliau mehairkan perasaan sykur dan berjanji meneruskan usahanya untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua universiti.

Pengarah Pusat Pembangunan Akademik Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat dalam sebutan mengenai Pro Ganjar menyifatkannya sebagai seorang tokoh yang percaya pendidikan harus merentasi universiti untuk mendekati masyarakat, membina negara bangsa dan mengeratkan hubungan wilayah dan nusantara.

Prof Riza berkata Rektor UNPAD itu banyak memperkukuhkan kesetiakawanan yang telah lama terbina antara UKM dengan Universitas Padjadjaran bagi memajukan bidang akademik disamping menjalin hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia.

Prof Ganjar dilahirkan di Bandung pada 1956 dan adalah seorang akademik dan budayawan. Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor sosiologi pertanian di UNPAD.

Beliau lulus dari Fakultas Pertanian Ekonomi Sosial UNPAD pada tahun 1979, memperolehi ijazah sarjana pada 1983 dan PhDnya dari Universiti Paris pada tahun 1987.

Sebelum kembali berkhidmat di dunia pendidikan, beliau sempat menjadi duta kebudayaan Indonesia di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Perancis. Ketika di Perancis, Prof Ganjar turut menyumbang kepada usaha mempromosikan kebudayaan Sunda.