Menghasilkan Graduan Rebutan Majikan

ISNIN, 21 OKTOBER 2013 16:45

Oleh Shahfizal Musa
Foto Raai Osman

BANGI, 8 Okt 2013 – Kementerian Kewangan bersedia memperuntukan dana yang diperlukan universiti awam untuk menjalankan program dan kegiatan yang diperlukan untuk melahirkan graduan yang dikehendaki majikan.

Program demikian hendaklah dirancang untuk mewujudkan suatu masyarakat kampus yang ideal hingga mereka menjadi graduan rebutan oleh majikan.

Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Seri Hj Ahmad Husni bin Mohd Hanadziah berucap kepada pelajar Universiti Kebangsaan Malayisa (UKM) di sini hari ini berkata mereka boleh menjadi graduan pemilihan kiranya suatu komuniti yang ideal dapat dibentuk di Universiti.

Beliau telah menceritakan pengalamannya sebagai pelajar yang suka membaca apabila ada sahaja ruang. “Saya akan menghabiskan sebuah buku setiap tiga hari dan telah membaca beratus buku sebelum graduan.”

“Hasilnya apabila mencari pekerjaan saya telah mendapat tawaran dari lapan majikan yang mahu saya bekerja dengan mereka”

Beliau telah menggunakan peluang di Universiti secara sebaik mungkin dan tidak hanya membaca buku akademik, tetapi membaca banyak buku lain mengenai falsafah dan sejarah.

Untuk menjadi seorang graduan rebutan majikan pelajar perlu mempunyai niat yang ikhlas bukan sahaja untuk membangunkan diri tetapi mempunyai keinginan mendalam untuk membantu dan menyumbang kepada kebaikan orang lain.

Dengan mempunyai naluri demikian graduan terbabit akan menjadi aset yang penting kepada majikan, komuniti dan diri mereka sendiri.

Mahasiswa juga perlukan suatu persekitaran yang baik dan betul dalam kampus.

Dato’ Seri Husni berkata adalah tidak mustahil bagi UKM menjadi salah suatu Universiti terbaik dunia dengan memberi contoh sebuah Institut Teknologi di India.

Setiap satu dari empat graduan yang dikeluarkannya bekerja di Lembah Silikon Amerika Syarikat. Kebolehpasaran graduannya amat menyerlah hinggakan menjadi rebutan negara maju. Ada kalanya mereka sudah pun menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian lagi.

Beliau mengingatkan pelajar merebut peluang ketika berada di UKM untuk membangunkan diri masing masing agar mereka dapat menabur bakti kepada masyarakat serta membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.

Naib Canselor,  Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dato’ Ir. Dr Othman A Karim, pengetua-pengetua kolej dan pelajar hadir di upacara itu.