Minda Keusahawanan Di Pupuk Di Kalangan Pelajar UKM

AHAD, 27 OKTOBER 2013 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 27 Okt 2013 – Semua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di lengkapi dengan pengetahuan dan pengalaman menjana pendapatan sendiri sebagai pengusahawan.

Naib Canselor Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin berkata “dari awal lagi semua siswa UKM diberi pendedahan kemahiran itu dan diasuh kebolehan menjana pekerjaan sendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerjaan dengan majikan apabila telah lulus”.

Beliau berkata setiap tahun kita mendengar graduan mengeluh mengenai pekerjaan yang mereka boleh pohon setelah menerima ijazah mereka. Oleh itu UKM telah melangkah ke hadapan apabila menjadikan keusahawanan sebagai satu subjek wajib untuk semua pelajarnya.

Dengan itu setelah tamat pengajian mereka dilengkapi dengan minda keusahawanan. Ini membolehkan mereka melihat pekerjaan hanya sebagai suatu pilihan dan bukannya matlamat tunggal selepas tamat pengajian.

Memiliki minda keusahawan ini mereka akan boleh menggunakan minat mereka dalam sesuatu bidang untuk menjana pendapatan.

Prof Sharifah Hapsah berkata minda keusahawanan ini dapat pula membantu negara menjadikan budaya inovasi dan keusahawanan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Ini adalah satu kelebihan apabila belajar di UKM. Pihak universiti mahu memastikan para graduannya tidak hanya berharap kepada pasaran pekerjaan setelah tamat pengajian tetapi sebaliknya boleh mencipta peluang pekerjaan untuk diri sendiri dan juga orang lain.

Beliau berkata pencapaian UKM juga menyerlah dalam beberapa bidang lain, di antaranya membangunkan Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju di Fakulti Perubatan yang telah menerima pengiktirafan oleh Edinburgh Royal College of Surgeons yang mengakui ianya adalah sebuah institusi yang dapat melahirkan pakar bedah berkemahiran setanding dengan pakar lain di dunia.

Demkian juga Fakulti Undang-Undang UKM yang telah lama turun ke padang membantu masyarakat dengan menubuhkan klinik bantuan guaman untuk memberi khidmat nasihat secara percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Manakala Fakulti Pendidikan pula telah mengadakan program ijazah Kedoktoran Falsafah Pendidikan yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hub kepakaran dalam bidang pendidikan.

Canselor UKM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kemudiannya telah menyampaikan ijazah kepada pelajar-pelajar yang lulus.