Semakin Ramai Rakyat Muda Malaysia Diserang Penyakit Jantung

ISNIN, 28 OKTOBER 2013 11:29 ADMINISTRATOR

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 Okt 2013 – Semakin ramai rakyat Malaysia yang masih muda yang berada dalam lingkungan umur 40 hingga 60 sering mengalami serangan jantung, suatu keadaan lebih awal daripada rakyat di negara-negara Barat.

Dengan sebab itu Ketua Pengarah Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Robaayah Zambahari berkata kini sudah tiba masanya rakyat negara ini memandang serius terhadap penyakit jantung, pembunuh senyap nombor satu dalam negara.

Beliau berkata demikian dalam suatu temubual dengan Portal Berita UKM di sini hari ini selepas di anugerahkan Ijazah Kehormat Sains dan Perubatan di konvokesyen ke 41 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Beliau adalah salah seorang dari pengasas IJN dan mengakui bahawa kini sudah wujud banyak pusat rawatan jantung dalam negara yang setanding dengan IJN. Bagaimana pun pesakit yang pernah menerima rawatan di IJN berkata ia mempunyai standard tersendiri melayan pesakit.

Dr Robayah berkata serangan jantung mempunyai impak yang besar kepada negara memandangkan ramai dari yang diserang berada di puncak kerjaya dan kehidupan. Mereka juga telah menjadi aset kepada majikan mereka.

Selain mempunyai keluarga dan anak yang biasanya masih belajar, mereka adalah tempat harapan bagi ramai yang bergantung kepada mereka.

Beliau juga mengingatkan bahawa rakyat Malaysia patut belajar daripada negara barat dalam mengendalikan penyakit jantung kerana mereka telah berjaya menangganinya.

Malangnya masyarakat Malaysia lebih gemar mencedok perkara negatif dari Barat, contohnya budaya makanan segera dan kehidupan yang tidak aktif.

Beliau mengakui bahawa adalah lebih baik bagi masyarakat mengamalkan langkah pencegahan supaya mereka tidak perlu ke IJN.

Dr Robayah juga berkata rakyat Malaysia hanya perlu mengubah gaya hidup seperti mengawal berat badan, menjaga makanan dan melakukan senaman untuk menghindari dari diserang penyakit jantung.