Seramai 6,830 Orang Pelajar Graduan Mulai Hari ini

SABTU, 26 OKTOBER 2013 17:42

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 26 Okt 2013 – Seramai 6,830 pelajar Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima ijazah mereka masing-masing di upacara Konvokesyen ke-41 bagi sesi 2012/2013 yang bermula di sini hari ini.

Antara mereka adalah sejumlah 444 yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 1779 sarjana, 306 ijazah doktor pakar perubatan dan pergigian, 4205 sarjana muda dan 96 diploma siswazah.

Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin berkata dengan graduan terbaru itu jumlah alumninya kini sudah meningkat kepada 163,853 orang.

Berucap pada sesi pertama konvokesyennya di sini hari ini, beliau yakin jaringan yang luas itu boleh memberi sumbangan yang bermakna bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada dunia keseluruhannya.

Beberapa cawangan atau chapternya sudah pun ditubuhkan di beberapa kota dan wilayah negara luar terutamanya di Indonesia dan negeri Thai.

UKM kini telah juga menjadi universiti pilihan pertama bagi pelajar dari 64 buah negara.

Sejak ditubuhkan 43 tahun lalu, UKM telah berjaya mengekalkan statusnya sebagai universiti penyelidikan selama tujuh tahun berturut-turut.

Ia juga telah menyahut aspirasi Pelan Transformasi Negara yang menuntut universiti penyelidikan membina budaya inovasi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Selaras dengannya UKM telah berganding bahu dengan semua pihak, baik Kerajaan, industri mahu pun masyarakat dalam dan luar negara untuk menerokai pendekatan baru bagi menghasilkan graduan yang mahir berinovasi dan mempunyai pengetahuan pengurusan teknologi dan keusahawanan.

Prof Sharifah Hapsah berkata pendekatan baru itu mengintegrasikan program pendidikan dengan penyelidikan serta pengkomersialan supaya idea dan rekacipta yang dihasilkan penyelidikan dapat dibawa ke pasaran oleh penyelidik.

Pendekatan itu juga berlaku dalam sekitaran yang diperkayakan dengan inovasi dan sokongan dari segi pembangunan prototaip, pendaftaran hak intelektual dan pembangunan model perniagaan. Pelajar dan penyelidik juga diketemukan dengan pelabur dan industri berkaitan.

Pusat Pasca-Siswazah Perniagaan (Graduate School of Business) UKM-GSB yang diiktiraf sebagai Sekolah Bisnes Ulung negara juga telah memperkenalkan beberapa kaedah yang memastikan graduan memenuhi kehendak pasaran semasa, tambah beliau.

Disamping itu program Inovasi dan keusahawanan juga telah diwujudkan di peringkat Sarjana muda dan Sarjana.