Khemah Musim Panas Untuk Murid Korea Di UKM

SELASA, 01 APRIL 2014 15:47

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Ikhwan Hashim

BANGI, 28 Mac 2014 – Sebuah anak syarikat UKM Holdings, UNIPEQ Sendirian Berhad, akan mengendalikan suatu program perkhemahan cuti sekolah dalam Bahasa Inggeris pada pertengahan tahun ini kepada kira-kira 100 orang murid dari Korea Selatan.

Suatu memorandum kefahaman ditandatangani di sini hari ini antara UNIPEQ dengan pertubuhan Perikatan Pendidikan Global (GloEDu) cawangan Korea Selatan bagi membolehkan pelaksanaan program tiga minggu itu yang akan dilangsungkan di Lembah Klang. Inilah julung kalinya program demikian diadakan UKM untuk pelajar-pelajar dari Korea.

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UNIPEQ Dr Siti Noorbaiyah Abdul Malik dan CEO GloEdu Inc Jeong Eun Soon.

Majlis tandatangan itu disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor UKM (Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat, CEO GloEdu Malaysia Hafiz Lee Kwang Sung dan Pengurus Projek dan Perundingan UKM Holdings, Mohamad Nazri Zainurain.

Murid Korea Selatan itu berumur antara 10 hingga 17 tahun akan belajar bahasa Inggeris sementara mengalami cara hidup rakyat Malaysia dan melawat beberapa mercu tanda di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Mereka akan menginap di kampus UKM Bangi.

Dr Siti Noorbaiyah berkata GloEd telah memilih Malaysia untuk menjadi tuan rumah perkhemahan itu kerana terdapat pendidikan berkualiti tinggi di sini serta penggunaan bahasa Inggeris yang meluas. Ia adalah suatu sumbangan penting UKM kepada sektor pelancongan pendidikan negara.

Beliau berkata kem itu akan mengadakan pelajaran bahasa Inggeris yang intensif disamping menyediakan program kebudayaan dengan mendedahkan murid Korea itu kepada cara hidup rakyat serta budaya kebangsaan yang akan dikendalikan oleh UKM Talent Enhancement Academy, sebuah anak syarikat UNIPEQ.

Hafiz Lee yang amat tertarik dengan sikap kemesraan orang Malaysia sejak menjejaki kakinya di sini 20 tahun lalu hingga mendorongnya menetap di sini berkata tidak ramai rakyat Korea Selatan mengetahui sikap rakyat Malaysia itu.

Beliau berkata kerjasama dengan UNIPEQ itu adalah suatu peluang bagi syarikatnya meluaskan perniagaan dengan sebuah syarikat yang mempunyai teras perniagaan lain dari pelancongan pendidikan .

UNIPEQ adalah sebuah entiti pemeriksaan kualiti dan keselamatan makanan serta penyelidikan yang telah ditubuhkan pada bulan Mei 1994 dan diperbadankan pada tahun 2009.

UKM sebelum ini telah menjadi tuan rumah beberapa program perkhemahan musim panas lain untuk belia luar negara seperti Asia-Europe Cross-Cultural Summer Academy dan rancangan untuk pelajar-pelajar Jepun yang seumpama dengan program untuk murid Korea itu.