Klinik Mata UKM Ditubuh Di Sekolah Khas

ISNIN, 21 APRIL 2014 11:25

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 17 April 2014 – Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak (SMPKS) di sini yang mempunyai ramai pelajar mengidap masalah penglihatan dari seluruh negara telah menerima sebuah klinik optometri bagi membolehkan pelajarnya itu mendapatkan rawatan dengan lebih mudah dan seawal mungkin.

Klinik demikian telah lama dirancangkan tetapi hanya menjadi kenyataan sekarang berkat bantuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Syarikat Carl Zeiss Inc yang menyediakan peralatannya.

Sebelum penubuhannya pelajar sekolah itu terpaksa pergi ke klinik Optometri di Fakulti Sains Kesihatan UKM di hospital besar Kuala Lumpur untuk rawatan dan susulan.

Klinik itu telah dilancarkan hari ini dan ia membolehkan pelajar menerima rawatan terbaik dari pakar mata UKM dan pemantauan dengan lebih cekap dan mudah.

Penubuhannya adalah salah satu daripada aktiviti UKM memberi khidmat kepada masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar ketika merasmikannya berkata kita sentiasa melihat ke hadapan apabila membincangkan soal teknologi tetapi kita juga perlu menoleh ke belakang terutamanya mendokumentasikan kejayaan yang lalu.

Kita perlu membawa masa lalu ke hari ini untuk menjadi panduan arah tuju masa hadapan dengan menghargai dan menghayati pengorbanan yang telah dilakukan generasi lalu hingga berjaya mewujudkan UKM.

Mengenangkan pengorbanan mereka boleh menjadi ilham dan panduan bagi pimpinan sekarang mengemudinya ke arah yang betul pada masa akan datang, kata Prof Mazlin.

Beliau telah menghuraikan bagaimana UKM telah terhasil, iaitu dari dana yang disumbangkan oleh masyarakat dan institusi seperti sekolah rendah. Semuanya adalah supaya Malaysia boleh mempunyai sebuah universiti yang memperjuangkan nilai-nilai kebangsaan.

Segala apa yang dilakukan sekarang baik dari segi masa dan wang adalah usaha meminjam dari generasi akan datang dan sebagai pinjaman kita perlu pulangkan dengan kadar yang lebih tinggi dan baik lagi.

Beliau berkata Jabatan Optometri UKM adalah yang pertama ditubuhkan di rantau ini dan warganya perlu berfikir untuk berkhidmat di luar sempadan khasnya ke negara ASEAN lain.

Guru Besar, Encik Jalaluddin bin Yusof, berkata SMPKS telah lama merancang untuk menubuhkan klinik optometri demikian tetapi baru kini tercapai.

Projek itu adalah hasil penglibatan UKM dan Syarikat Carl Zeiss Inc yang telah menaja peralatan yang diperlukan.

Turut hadir di majlis pelancaran adalah Ketua Program Optometri & Sains Penglihatan Dr Zainora Mohamed, Dekan Fakulti Sains Kesihatan Profesor Dr Siti Zamratol Mai Sarah Mukari dan wakil-wakil industri.