Kunjungan Ke Pusat Jagaan Al-Fikrah Tingkatkan Keinsafan Pelajar

SELASA, 22 APRIL 2014 13:57

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim & Abd Razak Hussin
Foto Ikhwan Hashim

KAJANG, 21 Apr 2014 – Seramai 45 orang pelajar Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia (PPPPM), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dapat menceriakan penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah, Sungai Sekamat di sini baru-baru ini.

Kebanyakan dari 60 orang penghuninya terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas yang “sebatang kara” serta terbiar serta menghadapi pelbagai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan berjadual.

Pusat jagaan itu dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan dengan dipengerusikan oleh Haji Azmi Md Zain.

Kunjungan pelajar itu telah menimbulkan kesedaran dan keinsafan untuk mengambil iktibar dari pelbagai masalah yang dihadapi penghuninya serta usaha menguruskan mereka yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan budaya itu.

Pusat jagaan itu yang ditubuhkan sejak Julai 2012 diuruskan oleh beberapa orang sukarelawan dengan bantuan kewangan sumbangan kerajaan, swasta dan orang perseorangan. Kos pengurusannya dianggar kira-kira RM30,000 sebulan.

Prof Dr Rohany Nasir yang mengetuai program kunjungan itu  mengharapkan ia akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar supaya dapat mempraktikkan ilmu psikologi yang mereka pelajari di universiti.

Beliau yakin, kunjungan itu telah memberi rangsangan dan kegembiraan kepada warga emas terbabit yang dipercayai berada dalam kesunyian walaupun terdapat ramai penghuni lain di sekeliling mereka.

Selain berinteraksi dengan penghuni pelajar-pelajar itu turut mengemaskan bilik penginapan dan memasak untuk makan tengahari.

Haji Azmi berkata kebanyakan warga emas masih mempunyai anak. Ada yang datang daripada keluarga besar, dengan lapan atau sepuluh anak, tetapi kini berakhir di pusat itu.

Beliau berharap masyarakat Malaysia terus menyokong, memberi sumbangan dan menjadi sukarelawan untuk pusat jagaan seperti itu serta menyeru anak dan saudara mara penghuni dapat memberi perhatian dengan sering mengunjungi mereka sebagai memenuhi tanggungjawab kekeluargaan.