Pelajar Disaran Menganjurkan Lebih Banyak Acara Membina Nilai Murni

JUMAAT, 04 APRIL 2014 11:02

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 3 April 2014 – Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disaran menganjurkan lebih banyak acara bertemakan moral dan agama untuk membantu membina nilai-nilai Islam di dalam diri mereka.

Demikian nasihat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat ketika menutup Karnival Mahabbah 2014 yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam (FPI). Karnival itu telah diadakan di dataran Masjid UKM dan berakhir Khamis lalu.

Beliau berkata pelajar-pelajar dari fakulti itu telah mencapai banyak kemajuan dan membuktikan bahawa mereka boleh bersaing dan bergiat aktif seperti pelajar dari fakulti lain juga, tidak seperti persepsi dahulu bahawa pelajar FPI hanya boleh menganjurkan acara akademik yang serius dan bukannya karnival atau acara yang bertemakan keseronokkan.

Beliau berharap karnival itu akan dapat dianjurkan sebagai suatu acara tahunan FPI.

Prof Riza Atiq mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan dan pelajar FPI yang terlibat menjayakan karnival itu yang menyediakan pelbagai gerai yang memberi peluang kepada mereka mengusahakan perniagaan kecil seperti menjual minuman, makanan-makanan ringan dan juga barangan kenangan fakulti seperti cawan dan lencana.

Antara lain termasuk permainan seperti memanah dan congkak serta pertandingan Nasyid.

Beliau berkata karnival itu menunjukkan kreativiti dan mencerminkan kepercayaan bahawa warga FPI juga boleh menganjurkan acara yang disukai ramai dan menarik tanpa perlu mengikuti jejak kebaratan dengan musik dan tarian. Acara bertema keagamaan juga boleh menarik orang ramai, tanpa menjejaskan nilai-nilai Islam, kata Prof Riza Atiq.

Beliau berharap pelajar FPI akan terus menganjurkan karnival Mahabbah sebagai suatu acara tahunan supaya pelajar lain juga boleh mendapat manfaat daripadanya.