Sifat Pengusaha Yang Mahu Berjaya

JUMAAT, 25 APRIL 2014 08:17

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 23 April 2014 – Seorang usahawan yang baik perlu mempunyai keyakinan diri selain boleh meyakinkan orang lain terhadap kemampuannya untuk mendapatkan sesuatu projek atau perusahaan yang dipohon.

Dan setelah berjaya mendapatkannya dia perlu memberi tumpuan penuh untuk melaksanakan projek yang diterima itu dengan baik, demikian kata seorang usahawan wanita yang amat berjaya di negara ini, Datuk Dr Maznah Hamid.

Beliau telah menyampaikan ceramah motivasi di Sidang Kemuncak kebangsaan Usahawan Muda 2014 yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini baru-baru ini.

Beliau juga menyatakan bahawa semua peniaga yang berjaya mempunyai watak yang menarik dan mudah bermesra dengan orang.

“Mereka mesti boleh mendengar apa yang dikehendaki orang ramai serta tidak menjauhkan diri terhadap peluang yang diterima,” katanya kepada kira-kira 250 orang pelajar universiti awam dan swasta yang mengambil bahagian dalam sidang kemuncak sehari itu.

Menceritakan pengalamannya, Maznah berkata seorang usahawan perlu tahan lasak dan bersedia menghadapi kesulitan yang pasti ditempuhi ketika memulakan perniagaan.

Mereka mesti tegas dengan pendirian dan melaksanakan rancangan sehingga berhasil. Mereka tidak boleh goyah atau lepas tangan begitu sahaja apabila gagal.

Setiap pengusaha yang berjaya pasti menemui kegagalan dan ia harus meningkatkan keazaman untuk berjaya bukannya mengaku kalah atau kecewa bila menghadapi sesuatu kesukaran, kata Maznah.

“Semua pengusaha mulanya sukar untuk mendapatkan pelanggan. Tetapi dia mesti tahu apa yang bakal pelanggannya kehendaki dan kemudian tawarkan apa yang mereka itu mahu.”

Bermula dengan modal hanya RM5,000 Maznah telah memulakan perkhidmatan pengawal keselamatan 30 tahun lalu. Wang, katanya, bukanlah suatu penghalang kepada kejayaan kerana bila ada kemahuan di situ ada jalan.

Maznah adalah seorang tokoh yang amat dihormati dalam perniagaan perkhidmatan keselamatan. Beliau bermula dengan keberaniannya menerima tawaran Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil alih sebuah firma keselamatan yang hampir muflis dan kemudiannya berjaya menubuhkan syarikat ‘Securiforce’ itu yang kini adalah sebuah syarikat terbesar dalam industri keselamatan negara.

Beliau dilahirkan di Jerlun, Kedah dan dengan gelaran ‘Iron Lady’, beliau adalah wanita pertama yang menguruskan sebuah syarikat perkhidmatan keselamatan, suatu bidang yang dikuasai lelaki sahaja pada suatu masa dahulu.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa sesuatu usaha perniagaan akan berjaya hanya dengan sokongan keluarga. Suaminya, lima orang anaknya dan seorang menantu semuanya menyumbang kepada pelbagai syarikat milik keluarga itu.

Syarikat yang bermula dengan hanya lima orang pekerja ketika mengambil alihnya 30 tahun yang lalu kini telah berkembang menjadi sebuah syarikat yang mempunyai sejumlah 5000 orang kakitangan dan telah berkembang keluar negara beroperasi di Singapura, Jerman, China dan merancang untuk masuk ke Britain tidak lama lagi.