Sukarelawan Diperlukan Untuk Membantu Golongan Daif

ISNIN, 07 APRIL 2014 17:08

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Apr 2014 – Membantu orang miskin dan daif tidak seharusnya terletak di bahu pihak berkuasa sahaja tetapi juga menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat untuk menolong mereka itu.

Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Nor Aishah Buang berucap di majlis pelancaran Program Perdana Melabur Dalam Masyarakat Terdedah, atau IRIS anjuran Fakulti itu di sini baru-baru ini, berkata lebih ramai sukarelawan diperlukan untuk membantu mereka yang menghadapi pelbagai masalah sosial dan ekonomi.

Prof Nor Aishah berkata tindakan bersama diperlukan untuk membantu mengurang dan menguruskan risiko itu dikalangan mereka yang terdedah kepadanya.

Perkhidmatan sosial IRIS itu telah dilancarkan oleh Dekan Fakulti Pendidikan Prof Dr Lilia Halim bagi pihak Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali. Turut hadir Ketua program IRIS Prof Madya Dr Mohd Aderi Che Noh.

Program itu bertujuan meningkatkan kebajikan kepada golongan daif itu bagi membantu mereka memperolehi pelbagai kemahiran selain meningkatkan pendidikan dan kualiti hidup mereka.

Golongan demikian yang didapati berisiko tinggi terdiri daripada masyarakat yang terpinggir dan terbiar, yang kurang bernasib baik dan tidak dapat pula mengambil bahagian dalam aktiviti kehidupan masyarakat arus perdana.

Beliau berkata rakyat dalam kumpulan risiko demikian boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan termasuk melatih mereka melalui kelas bimbingan, kelas vokasional, perkhidmatan bimbingan kerohanian dan kemahiran kerjaya serta kaunseling. Mereka ini antaranya terdiri dari murid sekolah, ibu bapa mereka dan juga ibu tunggal.

Sebagai pengerusi program itu, Prof Nor Aishah mengalu-alukan syarikat yang ingin menaja atau menyumbang dana yang boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membiayai peserta IRIS .

Sukarelawan yang ingin mengambil bahagian dalam program itu akan diberi latihan dan sijil penghargaan.

Permodalan Nasional Berhad dan Tenaga Nasional Berhad, agensi-agensi kebajikan seperti Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Selangor serta pejabat dan Pegawai Daerah Hulu Langat turut membantu dan menyokong usaha demikian.

Orang ramai yang inginkan keterangan lanjut mengenai program IRIS itu boleh hubungi talian 03-89216231 atau faks kepada talian 03-89254372. Waktu perkhidmatan program IRIS adalah dari pukul 2 tengah hari hingga 5 petang pada hari bekerja dan dari pukul 9 pagi sehingga 4 petang pada hari Sabtu.