Temasya Gemilang Kolej Keris Mas Menerima Sumbangan Timbalan Menteri Kerja Raya.

KHAMIS, 10 APRIL 2014 11:12

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Apr 2014 – Kolej Kediaman Keris Mas (KKM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah mengadakan Temasya Gemilangnya baru-baru ini menerima sumbangan RM10,000 dari Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirin.

Beliau yang telah menutup temasya yang dilangsungkan sebagai sambutan ‘hari keluarga’ itu telah dihadiri oleh kakitangan dan pelajar UKM dari kolej lain yang turut menyertai pelbagai aktiviti dan persembahan yang disajikan.

Datuk Rosnah berharap Temasya Gemilang itu akan diteruskan sebagai acara tahunan untuk memupuk semangat berpasukan selain memberi ruang menggilap bakat mereka.

Beliau berkata program demikian itu boleh menguji kemahiran, bakat dan profesionalisme mereka selain memberi peluang melihat sejauh mana mereka dapat menghadapi tekanan kerja, kesuntukan masa dan halangan birokrasi.

Ini bukan sahaja dapat membina keyakinan diri tetapi juga dapat memupuk sifat insaniah yang mereka perlukan setelah selesai pengajian nanti.

Beliau berterima kasih dengan pelajar KKM kerana kerja-kerja mereka membantu pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Kota Kinabalu dalam kawasannya hingga mencapai kedudukan terbaik bagi sekolah di seluruh Sabah.

“Program yang anda telah adakan dengan MRSM Kota Kinabalu telah memberi kesan baik ke atas pelajarnya hingga mencapai keputusan peperiksaan yang terbaik dalam 5 tahun ini di seluruh Sabah.

Beliau berharap pelajar KKM akan meneruskan hubungan dengan MRSM KK untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada murid sekolah itu mencapai potensi akademik mereka.

Persembahan yang disajikan termasuk persembahan oleh artis-artis tempatan Sabhi Sadhi, Kelangit Band dan Alif Aziz.

Ia berakhir dengan letupan bunga api dan persembahan flashmob oleh pelajar-pelajarnya mengelilingi Datuk Rosnah sebelum beliau meninggalkan majlis itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datin Noor Aziah Hj Mohd Awal turut hadir.