Tengku Ahmad Rithauddeen Lepaskan Jawatan Pro Canselor UKM Selepas 22 Tahun Berkhidmat

RABU, 09 APRIL 2014 11:23

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 3 Apr 2014 – Setelah 22 tahun berkhidmat sebagai Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail hari ini melepaskan jawatan itu dan sekali gus menderma koleksi buku undang-undangnya kepada perpustakaan Undang-undang UKM.

Berucap di majlis penyerahan bukunya itu di sini hari ini, Tengku Rithauddeen berkata beliau kagum dengan pencapaian UKM semasa tempoh khidmatnya dan berbangga dengan apa yang tercapai oleh universiti itu dalam masa sesingkat itu.

“Selama 22 tahun, saya yang paling lama (sebagai Pro-Canselor). Saya agak tiada sesiapa yang boleh mengatasi saya,” katanya dengan tersenyum lebar sambil disambut gemuruh oleh hadirin. Antara mereka termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Ir Dr Mohamad Zawawi Ismail, Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, semua keempat Timbalan Naib Canselor dan Dekan Fakulti Undang-Undang Prof Aishah Bidin.

Tengku Rithauddeen berkata beliau menceburi bidang undang-undang kerana sejak di bangku sekolah lagi beliau diberitahu  bahawa peguam dan penggubal undang-undang akan diperlukan negara apabila merdeka.

Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti dalam kerajaan, syarikat guaman, sebagai penggubal undang-undang di Dewan Rakyat, menteri dalam kabinet dan terakhir sebagai pengurusi jawatankuasa disiplin UMNO.

Sering dipuji sebagai ‘ahli politik budiman’, Tengku Rithauddeen berpeluang menjadi peguam bela yang terkenal atau pendakwa raya atau pun hakim. Walau bagaimana pun Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein telah mengubah arus kerjayanya.

Tun Razak, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri telah dua kali berusaha meyakinkannya untuk menyertai politik.

Akhirnya, ketika berhujah pada suatu kes mahkamah pada tahun 1967, beliau telah menerima pesanan dari Tun Razak melalui Datuk Abdullah Ahmad (kini Tan Sri) untuk menemuinya.

Tun Razak memberitahu Tengku Rithauddeen yang beliau tiada pilihan melainkan menerima jawatan ketua pegawai penerangan Umno Kelantan pada petang hari itu juga.

Tengku Rithauddeen, ketika itu adalah rakan kongsi firma undang-undang Rithauddeen dan Aziz (bersama Allahyarham Raja Aziz Addruse) enggan menerima tawaran itu lalu merayu untuk mendapatkan kebenaran isterinya.

“Razak memberitahu saya dia tidak kisah jika saya mahu mendapatkan persetujuan isteri tetapi akan tetap melantik saya,” katanya hingga telah mengubah kerjayanya dari peguam kepada seorang ahli politik.

Isterinya Tengku Nor Aini kemudiannya telah bersetuju dengan perlantikan itu.

Beliau mengenang bapanya, Tengku Ismail Tengku Nik Haji, seorang pemilik ladang, mahukannya menjadi seorang peguam.

“Dia memberitahu saya yang orang putih akan datang kembali dan saya boleh menjadi seorang peguam yang baik. Bapa saya menerapkan rasa cinta saya terhadap Bahasa Inggeris dengan membaca buku-buku seperti “Gulliver’s Travels” dan karya-karya Shakespeare.”

Beliau dilahirkan pada tahun 1929 bukannya 1932 seperti dinyatakan dalam rekod rasmi. Kini berusia 85 tahun, beliau sentiasa dikenali dengan pertuturan bahasa Inggeris yang baik hasil dorongan ayahandanya.

Tengku Rithaudeen berkata kegemarannya kepada Bahasa Inggeris dan Common Law mendorongnya untuk mengumpul buku-buku undang-undang.

Buku-buku itu terdiri daripada 428 tajuk dan 714 manuskrip yang dikumpulnya sejak berkhidmat dalam rakan perkongsian syarikat guamannya telah di dermakannya kepada Perpustakaan Undang-undang UKM. Koleksi itu dinamakan Koleksi Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen.

Beliau kemudiannya telah melawat perpustakaan Fakulti Undang-undang, yang telah pun memperoleh hampir 100,000 buku dan manuskrip tercetak dan dalam bentuk e-buku.