UKM Sebagai Pusat Ilmu Budaya Dan Sains

ISNIN, 21 APRIL 2014 13:12

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Apr 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada dalam kedudukan baik untuk mencapai hasratnya menjadi pusat pengetahuan sains dan teknologi yang turut mendokong budaya negara.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata sungguhpun ia ditubuh dengan hasrat memartabatkan budaya negara pencapaiannya dalam penyelidikan saintifik juga memberangsangkan.

Semasa merasmikan Kolokium Siswazah UKM ke-14 di sini baru-baru ini, beliau berkata UKM terus berdedikasi untuk mencapai wawasan negara dalam bidang pembangunan sains dan teknologi melalui penyelidikan dan pembangunan sains terkini serta teknologi berkaitan.

Beliau yakin kolokium tahunan anjuran Fakulti Sains dan Teknologi  (FST) itu dapat memaparkan lebih banyak penemuan baru hasil penyelidikan pelajar.

Kolokium itu adalah salah satu medium terbaik untuk melatih pelajar pascasiswazah menyediakan persembahan saintifik mereka dalam usaha meningkatkan pemahaman terhadap pelbagai bidang kepakaran.

Pelajar juga diberi kesempatan untuk berbincang dan menyelesaikan isu yang mereka hadapi sepanjang pengajian dengan pensyarah dan pelajar lain kerana program itu memberi ruang bagi mereka berinteraksi secara terbuka untuk mendapatkan idea dan kritikan membina.

Ia juga diharap dapat meningkatkan nilai pelajar bagi melahirkan bakat untuk menjalankan penyelidikan dan penerbitan manuskrip bermutu tinggi untuk prosiding American Institute of Physics (AIP).

AIP adalah pertubuhan yang menerbitkan kajian dalam jurnal sains fizikal, majalah dan prosiding persidangan. Ia juga menerbitkan majalah Physics Today dan adalah asas kepada Persatuan Pelajar Fizik dan Perpustakaan dan Arkib Niels Bohr.

Ia bertujuan memupuk inovasi dan pengedaran penyelidikan yang diterbitkan untuk ahlinya, ahli sains, pelajar dan orang awam.

Prof. Emeritus Dato’ Sri Dr. Zakri Abdul Hamid dan Prof Dr Sahrim Ahmad turut hadir di majlis perasmian itu.