IS Bukan Jihad Sebenar, Forum Dimaklumkan

RABU, 31 DISEMBER 2014 16:43


Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 30 Disember 2014 –  Dua orang sarjana dan seorang mubaligh Islam telah menyifatkan Daulah Islamiyah (IS) yang berjuang kerana mahu berjihad sebenarnya telah memesong dari konsep Jihad yang dituntut agama.

Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhamad Adib Samsudin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ustaz Nazmi Abdul Karim seorang mubaligh daripada badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care berpendapat bahawa perjuangan jihad IS telah menyimpang daripada kehendak agama.

Mereka telah berbincang mengenai isu itu pada Bicara Perdana UKM di sini baru-baru ini atas tajuk Jihad, Syahid dan Keganasan: Antara Teori dan Realiti

Prof Badlihisham berkata IS mensasarkan golongan remaja dan pelajar yang mahu berjuang tetapi kurang arif dalam ilmu Jihad.

Selain daripada IS terdapat sebuah badan lain yang sah menjadikan Islam sebagai sebuah dasar untuk berperang atau berjuang iaitu Gerakan Islam.

Mereka bersetuju bahawa berjihad pada jalan Allah untuk menegakkan Islam dengan memerangi orang kafir yang memusuhi Islam adalah suatu yang dituntut.

Dr Muhamad Adib berkata orang Islam yang berjuang serta terkorban menuju ke jalan Allah merupakan suatu yang perlu dicari jika dibandingkan dengan harta di dunia.

Beliau turut memberi penerangan tentang perbezaan keadaan yang menjadikan Jihad sebagai fardu ain atau fardu kifayah. Jika sesebuah negara itu tidak diserang, tiada pengumuman perang dibuat, maka Jihad pada waktu itu menjadi fardu kifayah. Akan tetapi, jika negara diserang musuh, maka Jihad pada waktu itu menjadi fardu ain. Hal ini kerana setiap individu muslim dikehendaki berperang untuk melawan musuh.

“Jihad bila menjadi fardu ain adalah penting untuk dilaksanakan”, tambah beliau.

Ustaz Nazmi pula berkongsi pengalamannya mengenai isu itu  di Syria sebuah negara yang diserang oleh musuh Islam. Apa yang berlaku di Syria telah merebak bukan sahaja dalam kalangan pejuang dan orang dewasa, malah turut berlaku di kalangan kanak-kanak. Kekejaman yang berlaku telah mengorbankan ramai penduduk di tanah Syria, katanya.