PMUKM Janji Sokong Wawasan ‘Kebangsaan’UKM

SELASA, 23 DISEMBER 2014 15:22

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Izwan Azman

BANGI, 15 Disember 2014 – Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) akan terus menyokong Wawasan UKM untuk menjadi sebuah universiti beridentiti “kebangsaan” berasaskan enam Bidang Keberhasilan Utamanya.

Yang Dipertua PMUKM Muhammad Sallehudin Khalid berkata persatuan itu akan bersama dengan pengurusan UKM merealisasikan gagasan besar itu. PMUKM telah pun menubuhkan sebuah biro untuk usahanya itu.

Berucap ketika menerima Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi baru sekarang dari Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali di sini hari ini, Sallehuddin berkata kepimpinan UKM yang mengasaskan enam bidang itu telah berjaya meletakkan UKM untuk maju kehadapan.

PMUKM, katanya, akan berperanan mendukung falsafah universiti serta membantu hasrat universiti membentuk gagasannya itu.

PMUKM sebagai sebuah persatuan menaungi seluruh mahasiswa UKM dengan tema ‘Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti’ akan melaksanakan pelbagai usaha mendukung tanggungjawabnya itu, kata Sallehudin.

Empat paksi telah digariskan persatuan iaitu ‘UKM Kondusif, Mahasiswa Proaktif’; ‘Tanjak Ilmu, Merentas Global’;‘Mahasiswa Berbakti, Masyarakat dirai’ dan ‘Dana Kendiri, Menjamin Utiliti’, katanya.

Beliau mengingatkan kembali perkembangan UKM dalam tempoh 44 tahun sejak penubuhannya serta usaha universiti menjejaki semula sekolah yang telah menyumbang derma terhadap penubuhan UKM waktu itu.

Pidato-pidato hebat oleh ilmuan UKM mengenang jasa ilmuan terdahulu yang berjuang membela semangat kebangsaan dan pendidikan demi anak bangsa tidak harus dilupakan, kata Sallehudin.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor; Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Prof Dr Imran Ho Abdullah (Jaringan Industri & Masyarakat).