Rakyat Malaysia Kurang Arif Mengenai ASEAN, Forum Diberitahu

SNIN, 29 DISEMBER 2014 14:27

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 19 Disember 2014 –Warga Malaysia menunjukkan minat yang paling rendah mengenai ASEAN di kalangan warga negara-negara anggota lain kumpulan serantau itu.

Beberapa kajian yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Luar Negeri dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain mendapati rakyat Malaysia adalah yang terakhir di kalangan rakyat anggota lain mengenai pengetahuan terhadap gagasan itu.

Hal ini ditimbulkan dalam forum Bicara Persada mengenai Deklarasi Nay Pyi Taw Komuniti ASEAN 2015 – 2025: Wujudkah Masa Depan Bersama? di UKM di sini hari ini.

Peserta forum itu kecewa mendapati ramai responden di Malaysia tidak tahu bahawa negara bakal menjadi pengerusi gugusan itu pada Januari ini apabila ASEAN menjadi sebuah komuniti ekonomi bersepadu.

Pengarah Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Kementerian Luar, Mohd Suhaimi Jaafar berkata kajian oleh Wismaputra mendapati hanya 34% daripada responden tahu bahawa Malaysia akan mempengerusikan kumpulan itu pada 2015 ini.

“Ramai responden tidak dapat menamakan semua anggotanya apatah lagi menyedari bahawa ASEAN akan menjadi suatu gagasan ekonomi bersepadu pada 2015 ini nanti,” keluh Suhaimi.

Beliau menyorot kepada Sidang kemuncak ASEAN ke-25 yang telah berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar baru-baru ini tetapi tidak ramai mengetahuinya atau mengambil berat mengenainya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ir Hj Hamim Samuri seorang lagi peserta berkata MITI telah menyediakan rangka tindakan liberalisasi perdagangan, suatu keperluan bagi komuniti bersepadu dan sebagai persediaan apabila negara memegang tampuk kepimpinan ASEAN tidak berapa hari lagi.

“Hanya 3 daripada 10 perniagaan Malaysia yang berminat, walaupun ada potensi besar untuk memperluaskan perdagangan dalam ASEAN. Terdapat minat yang agak terhad,” kata Datuk Hamim.

Beliau berkata rakyat Malaysia mungkin lebih berminat politik daripada ekonomi dan perdagangan, manakala Suhaimi membalas dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia terlalu leka tentang masa depan mereka.

Seorang lagi ahli panel, pensyarah kanan di fakulti Undang-Undang Dr Salawati Mat Basir bersetuju bahawa terdapat kekurangan kesedaran di kalangan warga Malaysia mengenai masa hadapan Malaysia dalam ASEAN, tetapi mereka lebih berminat untuk membeli-belah di negara-negara jiran.

“Sebagai bukti peribadi, saya tahu bahawa rakyat Malaysia suka membeli-belah di Vietnam dan Thailand, di mana kain lebih murah daripada di Malaysia. Kumpulan saya pergi membeli-belah di Thailand. Kami hanya berminat untuk mencari jualan murah,” kata Dr Salwati mencuit hati penonton.

Namun demikian, secara serius beliau meramalkan bahawa komuniti bersepadu bermakna rakyat Malaysia perlu bersedia untuk mencari kerja sebagai ekspatriat di negara-negara ASEAN yang lain. Walau bagaimanapun, ini hanya mungkin dapat dilaksanakan sekiranya semua negara anggota menerima pakai sistem yang sama dari segi Undang-Undang, Perdagangan dan Pendidikan.

“Rakyat Malaysia tidak bersifat ‘cosmopolitan’ untuk meneroka keluar. Kami perlu meyakinkan pelajar-pelajar kita untuk mengubah pemikiran mereka dan bersedia untuk bekerja di Singapura, Jakarta dan Bangkok. Walau bagaimanapun undang-undang (antara negara-negara) tidak sama, jadi ia merumitkan lagi tugas saya (sebagai pensyarah Undang-undang),” tambah beliau.

Dr Salwati membuat kesimpulan bahawa mesti ada ikhtiar politik pada semua negara anggota untuk mencapai matlamat tersebut dan ia perlu bermula dengan menyelaraskan semua prosedur.

Ahli panel keempat, timbalan rektor Universitas Andalas di Sumatera Prof Dr Ir Helmi, melihat masa depan ASEAN yang lebih cerah.

Beliau berkata banyak syarikat Malaysia telah melabur di beberapa negara ASEAN yang lain, walaupun tidak semua daripada negara itu.

“Kini terdapat kira-kira 1,000 syarikat Malaysia yang beroperasi di negara-negara ASEAN. Saya hanya boleh menyebut beberapa, seperti Air Asia, Maybank, CIMB. Tetapi terdapat potensi untuk perdagangan yang lebih besar dalam sektor barangan runcit, malahan produk halal,” katanya.

Prof Helmi memberi contoh pelajar Indonesia yang menuntut di Malaysia, yang kini telah mencapai puluhan ribu. Sehingga Disember 2012, kira-kira 6,000 rakyat Malaysia belajar di Indonesia manakala kira-kira 14,000 rakyat Indonesia telah melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Forum ini diacarakan penyiar Nizal Muhammad.