Terpulang Kepada Universiti Untuk Mengkaji Semula Hubungan Dengan Agensi Penarafan

SELASA, 09 DISEMBER 2014 09:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Disember 2014 – Terpulang kepada universiti penyelidikan tempatan untuk menentukan sama ada agensi penarafan antarabangsa telah berlaku adil apabila menentukan kedudukan mereka dalam laporan tahunannya khususnya bagi institusi yang masih muda dari negara-negara yang baru muncul seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata institusi pengajian tinggi awam boleh mengkaji semula hubungan mereka dengan agensi penafaran jika mereka merasakan sistem penarafan tidak adil bagi universiti dari negara-negara membangun.

“Ia mengambil masa untuk universiti yang muda seperti UKM dan institusi tempatan yang lain untuk mendapatkan pengakuan bahawa mereka berhak dinilai secara adil,” katanya kepada Portal Berita UKM selepas merasmikan siri ke-5 persidangan media dan pameran mengenai pencapaian dan kejayaan lima universiti penyelidikan, di sini hari ini.

Datuk Seri Idris telah diminta mengulas mengenai laporan media dalam talian baru-baru ini bahawa hanya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sahaja muncul sebagai satu-satunya universiti dari Malaysia yang berjaya ke senarai 100 universiti terkemuka negara-negara membangun bagi tahun 2015.

Agensi penafaran Times Higher Education (THE) telah menyatakan kebimbangannya mengenai beberapa universiti di Malaysia yang enggan mengemaskini maklumat bagi membolehkannya menilai kedudukan mereka.

Menurut THE, UTM ada pada tangga 93 dalam senarai untuk negara-negara BRICS dan Ekonomi Baru Muncul bagi tahun 2015, tetapi UKM dan UPM yang berada pada kedudukan 77 dan 95 pada tahun lepas tidak digredkan pada kali ini. BRICS adalah Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Datuk Seri Idris berkata beberapa universiti di Malaysia merasakan bahawa cara pengukuran yang digunakan THE adalah tidak adil, umpamanya faktor usia dan jumlah pembiayaan.

THE dilaporkan berkata dalam satu kenyataan bahawa universiti-universiti di Malaysia tidak terlibat secara aktif dengannya.

Datuk Seri Idris menggesa universiti penyelidikan untuk terus mengeluarkan lebih ramai penyelidik yang boleh memberi kesan kepada masyarakat, industri dan negara.

Beliau menerangkan bahawa sejak penubuhan universiti penyelidikan pada 2007 universiti-universiti itu telah berjaya menghasilkan seramai 25,000 Doktor Falsafah (PhD) sehingga sekarang.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Ketua Pengarah Pelajaran Tinggi Prof Datuk Dr Asma Ismail turut hadir di upacara itu di mana Yayasan Sime Darby (YSD) telah menyerahkan cek bernilai RM5 juta kepada UKM untuk meneruskan penyelidikan usaha sama dengannya.

YSD sebelum ini telah memberi dana untuk program sisa sifar melalui satu penganugerahan Kursi UKM-YSD untuk pembangunan lestari dan Kursi UKM-YSD untuk Perubahan Iklim.

Cek itu telah diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar oleh ketua Teknologi Pemprosesan YSD Shawaluddin Tahiruddin.

Sebuah buku karangan Prof Asma bertajuk ‘Kesan Universiti Penyelidikan Malaysia sebagai Enjin Pertumbuhan bagi Pembangunan Negara’ dan kereta berkuasa sel fuel hidrogen rekaan UKM telah dilancarkan pada majlis itu.