Kerjasama Penyelidikan Pertuturan Dan Pendengaran Antara UKM dan University of Reading

RABU, 19 FEBRUARI 2014 12:10

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 14 Feb 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan melakukan kajian bersama dengan University of Reading (UoR), United Kingdom dalam bidang celik huruf  dan kepelbagaian bahasa serta penyelidikan mengenai pertuturan dan pendengaran dalam neurosains dan linguistik.

Suatu memorandam persefahaman (MoU) di tangani di sini hari ini membolehkan kerjasama itu antara Fakulti-fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) dan Sains Kesihatan UKM (FSK) dengan pusat Literasi dan Pelbagai Bahasa (CeLM) dan Pusat Neurosains dan Neurodynamik Intergratif (CINN) UoR.

Dekan FSSK dan FSK Prof Dr Hazita Azman dan Prof Dr Siti Maisarah Zamratol menandatangani MoU itu bagi pihak UKM manakala UoR diwakili Pengarah-pengarah CeLM dan CINN Prof Jeanine Treffers-Daller dan Prof Douglas Saddy.

Majlis itu disaksikan oleh Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa Prof Dr Imran Ho Abdullah, profesor Kepelbagaian Bahasa dan Pembangunan Bahasa Prof Theodorus Marinis dan Prof Madya Dr Daisy Powell dari UoR.

Prof Treffers-Daller dan Prof Saddy berkata UKM mempunyai kepakaran penyelidikan berkaitannya serta data mengenai linguistik dan neurosains yang akan melengkapkan penyelidikan mereka di Britain.

Turut hadir ialah Prof Dr Fuad Mat Jali, Timbalan Dekan Pasca-siswazah dan Hubungan Antarabangsa dan Prof Madya Dr Noraini Ibrahim, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSSK.

Dalam ucapan aluannya pada majlis ringkas itu, Prof Imran Ho berkata UKM berhajat meluaskan kerjasama penyelidikan dalam pelbagai disiplin ke luar negara manakala UoR pula berminat dengan kepakaran UKM dalam kepelbagaian bahasa dan neurosains pembelajaran bahasa.

Beliau berharap kerjasama itu akan menjadi titik permulaan untuk melakukan lebih banyak penyelidikan bersama antara kedua universiti itu pada masa depan.

Prof Hazita memberitahu Portal Berita UKM bahawa universiti British itu berminat mengetahui selok belok kedudukan masyarakat berbilang bahasa di Malaysia dan impaknya ke atas rakyat.

Beliau berkata Prof Treffers-Daller mahu melakukan penyelidikan mengenai bagaimana bahasa Inggeris dipelajari di Malaysia dan pentingnya ia sebagai bahasa perdagangan walaupun menduduki tempat kedua kepada bahasa kebangsaan.

Prof Siti Zamratol pula menjelaskan bahawa FSK akan menjalani penyelidikan dengan UoR mengenai pertuturan dan kurang upaya pendengaran, termasuk bagaimana pesakit strok  (angin ahmar) boleh mula belajar bahasa.

Beliau menerangkan bahawa rakan-rakan British mereka itu memerlukan maklumat yang ada di UKM mengenai neurosains dan kepelbagaian bahasa.