Kesedaran Isu Tenaga Dan Perubahan Iklim Rendah Dalam Kalangan Rakyat

KHAMIS, 27 FEBRUARI 2014 18:29 ADMINISTRATOR

Oleh Shahiddan Saidi
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 24 Feb 2014 – Seorang pakar dari Amerika Syarikat mengenai tenaga dan perubahan iklim hairan dengan tahap kesedaran yang rendah mengenai isu yang melanda dunia sekarang di kalangan rakyat Malaysia.

Kadar kesedaran mengenai isu tenaga dan perubahan iklim di kalangan penduduk Malaysia perlu ditingkatkan, kata Dr Patrick Meyer, Penasihat mengenai Kecekapan Tenaga dan Pemuliharaan di Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Dr Meyer telah membentangkan pandangannya itu di suatu persidangan oleh Institut Kesihatan Global di Universiti Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation University Institute of Global Health – UNU) di sini hari ini. UNU bertempat di Pusat Perubatan UKM.

Beliau berada di Malaysia sebagai Felo Sains di Kedutaan Besar Amerika Syarikat untuk membantu Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (Malaysia Green Technology Corporation) membentuk strategi pembangunan hijau yang mesra alam.

Pembentangannya bertajuk “Mengurangkan Akibat Perubahan Iklim Melalui Diplomasi AS” beliau telah mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan negara berikutan dengan perbincangannya dengan pelbagai pihak berkepentingan di sini.

Salah satu daripadanya adalah peningkatan kesedaran mengenai isu perubahan iklim.

Beliau juga terperanjat mendapat tahu bahawa salah satu daripada pembuat kereta tempatan tidak menganggap kereta elektrik yang lebih mesra alam, sebagai suatu peluang yang akan mendapat sambutan.

Suatu lagi cadangannya ialah menaikkan harga tenaga seperti minyak dan elektrik dengan menurunkan subsidi yang diberikan kerajaan. Ini, katanya, akan menggalakkan rakyat negara ini meneroka dan melabur dalam sumber tenaga alternatif yang lebih mesra alam.

Beliau bagaimanapun berkata ia harus dilakukan hanya setelah langkah diambil bagi memastikan tindakan itu tidak terlalu membebankan rakyat.

Dr Meyer juga hairan kenapa Malaysia walaupun memiliki industri pembuatan panel solar yang terbesar di dunia tetapi penggunaan tenaga solar amat rendah dalam negara.

Panel solar yang dihasilkan di Malaysia adalah untuk eksport kerana ia lebih menguntungkan padahal sepatutnya ia juga harus digunakan untuk pasaran tempatan.

Beliau juga menimbulkan masalah kekurangan interaksi dan komunikasi antara pelbagai badan yang wujud dalam negara mengenai soal alam sekitar dan iklim.

Kini sudah wujud lebih daripada 10 buah badan kerajaan mengenai hal-hal alam sekitar, iklim dan teknologi tenaga hijau dan kesemua badan itu harus boleh berkerjasama dengan lebih erat bagi memastikan mereka dapat berkongsi maklumat demi kesejahteraan negara.

Hadir di pembentangan itu, Prof Jamal Hisham Hashim seorang Profesor bidang Kesihatan Alam Sekitar di UNU, pelajar, pensyarah dan badan-badan yang bergiat mengenai isu alam sekitar.

TERAKHIR DIKEMASKINI PADA JUMAAT, 28 FEBRUARI 2014 11:12