Kumpulan Pelajar UKM Menangi Hadiah Memorial Pertandingan Moot 2014

ISNIN, 17 FEBRUARI 2014 00:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Feb 2014 – Pasukan pelajar Fakulti Undang-undang (FUU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memenangi hadiah Memorial terbaik dalam Pertandingan Moot Phillip C. Jessup 2014.

Bagaimana pun pasukan dari Universiti Malaya (UM) telah memenangi pertandingan itu secara keseluruhan sebagai juara dengan pasukan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendapat tempat kedua.

UKM adalah tuan rumah kejohanan itu tahun ini, yang menyaksikan lapan pasukan terdiri dari 40 orang pelajar dari lapan buah universiti bersaing untuk menjadi Juara Moot Jessup.

Selain UKM, UM dan UIA, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Advanced Tertiary College (ATC) telah mengambil bahagian.

Surrendran Anan dari pasukan UKM telah memenangi Oralis Terbaik dan menerima sebuah trofi, sijil dan hadiah buku, sumbangan peribadi Prof Myint Zan dari Universiti Multimedia (MMU).

Semua peserta telah menerima sijil penyertaan, manakala pasukan UM menerima piala pusingan, sijil dan trofi individu.

Pasukan UM akan mewakili Malaysia di Pertandingan Moot Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan kemudian dan akan bersaing dengan pelajar undang-undang daripada universiti dari seluruh dunia, termasuk Australia, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan India antara beberapa negara lain.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Datin Noor Aziah Hj Mohd Awal telah menyerahkan hadiah kepada pemenang dan peserta pada upacara penutupnya di auditorium FUU di sini hari ini.

Pertandingan Moot Philip C. Jessup adalah suatu persaingan berprestij dan mencabar dan merupakan suatu platform kepada pelajar undang-undang untuk berlatih dan mengasah bakat kepeguaman mereka.

Ia bukan sahaja memerlukan kepetahan bercakap dan berhujah tetapi juga menguji kepintaran berfikir secara spontan dan keupayaan mengolah jawapan bertulis dengan baik dan kemas,” kata Prof Noor Aziah di majlis penutup itu.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan UM yang akan mewakili Malaysia di persaingan Moot peringkat antarabangsa yang akan dianjurkan tidak lama lagi.

Prof Noor Aziah mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai rekod yang baik di pertandingan Moot Antarabangsa.

Misalnya pada Pertandingan Moot tahun 1996 UM memenangi Anugerah Evan untuk Memorial Terbaik; pada tahun 2000 kumpulan dari UIA memenagi Anugerah Richard R. Baxter untuk Memorial Terbaik; pada tahun 2005 Melati Abdul Hamid dari UIA memenagi Anugerah Oralis Terbaik dan pada tahun 2012 wakil Malaysia juga memenagi Anugerah Memorial Terbaik.

Prof Noor Aziah berkata rekod demikian menunjukkan pelajar Malaysia bukan sahaja telah mengharumkan nama Malaysia dan universiti masing-masing, tetapi telah juga membuktikan bahawa sistem pendidikan Malaysia adalah setanding dengan sistem yang ada di Australia, United Kingdom atau Amerika Syarikat .

“Ia juga membuktikan bahawa tahap bahasa Inggeris di Malaysia bertambah baik dan tidak seburuk yang diperkatakan. Ini juga membuktikan bahawa walaupun bahasa Inggeris bukanlah bahasa ibunda rakyat Malaysia, kita masih boleh bersaing dengan orang lain di peringkat tertinggi sambil dapat menewaskan pelajar yang berasal dari negara di mana bahasa ibunda mereka adalah bahasa Inggeris,” tambah beliau.

Pada majlis itu Prof Noor Aziah telah menyampaikan tanda penghargaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Dato Zulkifli Adnan dan Prof Myint Zan dari MMU sebagai hakim dan berterima kasih kepada Syarikat Shearn Delamore yang menyokong pertandingan itu.