Pelajar Digalakkan Menyertai Aktiviti Luar Kuliah Untuk Bina Sahsiah Dan Ketrampilan Diri

JUMAAT, 28 FEBRUARI 2014 00:00

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 28 Feb 2014 – Pelajar digalakkan menyertai pelbagai aktiviti di luar kuliah bukan hanya untuk memenuhi kehendak kredit kokurikulum tetapi dilakukan untuk membina sahsiah dan ketrampilan diri serta kebolehan soft-skill mereka.

Kemahiran demikian penting bagi membolehkan pelajar yang akan tamat pelajaran dapat bersaing dalam pasaran kerjaya, demikian kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal di majlis makan malam tahunan Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KTDI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini baru-baru ini.

Majlis itu yang berlangsung di Hotel Primeera adalah untuk meraikan pelajar tahun akhir KTDI yang akan tamat pengajian mereka serta pelajar-pelajar yang telah dapat pencapaian terbaik pada semester lalu.

Beliau berkata melalui aktiviti luaran pelajar akan memperolehi kemahiran soft-skill yang mereka perlukan.

Misalnya pengalaman yang mereka timba menganjurkan majlis itu memberikan mereka pengalaman bekerja berpasukan, pengurusan masa dan wang serta perancangan strategik dan cara berkomunikasi yang baik,” Prof Noor Aziah berkata.

Kemahiran demikian adalah penting kepada semua pelajar supaya mereka akan mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila telah tamat pegajian. Majikan kini tidak lagi melihat pencapaian akademik sahaja apabila mengambil pekerja-pekerja baru, tambah beliau.

Beliau juga mengingatkan mereka untuk berterusan menjaga nama baik UKM di mana sahaja mereka akan berkhidmat.

Kemuncak majlis adalah penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar oleh Prof Noor Aziah. Anugerah tertinggi KTDI adalah Anugerah Tun Dr Ismail, di mana setiap tahun seorang pelajar tahun akhir dipilih atas dasar pencapaian cemerlang dalam pengajian akademik, aktiviti ko-kurikulum dan sumbangan kepada kolej, universiti atau masyarakat.

Anugerah itu kali ini diberikan kepada Syed Al-Hafiz Bin Syed Hashim.

Turut hadir Pengetua KTDI, Prof Dr Zulkifli bin Md Zainuddin.

Pemenang adalah seperti berikut:

Anugerah Kecemerlangan Akademik:

Pelajar Terbaik Perubatan
Kezreen Kaur Dhaliwal

Pelajar Terbaik Kejururawatan
Tan Zhen Yi

Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan:

Pelajar Terbaik Kebudayaan
Nur Sharifah bt Mohamed Salih

Pelajar Terbaik Sahsiah dan Rohani
Khairul Anwar bin Abdul Rahman

Pelajar Terbaik Kurikulum
Chan Tze hwei

Anugerah Tun Dr Ismail
Syed Al-Hafiz Bin Syed Hashim