Rayuan Bangunan Lama Puak Cam Dipelihara

JUMAAT, 28 FEBRUARI 2014 11:18

Berita dan Foto Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 28 Feb 2014 – Usaha besar-besaran oleh kerajaan bersangkutan diperlukan supaya warisan bangunan masyarakat minoriti Campa di Kemboja, Laos dan Vietnam dapat dipelihara dan dipulihkan.

Prof Madya Dr Mohamad Zain Musa dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM berkata negara-negara tersebut boleh berkongsi kepakaran untuk menyelamatkan bangunan dan rumah lama yang dibina oleh orang Campa.

Dr Mohamad Zain, Felo Penyelidik kanan ATMA yang mengkaji bidang masyarakat Islam Indochina, khuatir keunggulan seni reka bentuk masyarakat Campa akan hilang begitu sahaja jika usaha demikian tidak dilakukan.

Beliau berkata demikian dalam seminar untuk menghargai 50 tahun sumbangan Prof Emeritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, di sini baru-baru ini.

Beliau telah melawat pelbagai tempat di Kemboja, negara asal beliau, memerhati keadaan beberapa bangunan lama yang terdapat di perkampungan minoriti Campa.

Mereka adalah keturunan kaum mendirikan kerajaan Campa dari abad ke-2 hingga abahd ke-19 di bahagian tengah Vietnam sekarang.

Mereka berkait rapat dengan orang Austronesian yang lain dan bertutur bahasa Cam, bahasa Melayu-Polinesia dari keluarga bahasa Austronesia (kumpulan kecil Aceh-Cam). Ini berbeza dengan kebanyakan kaum majoriti Kemboja, Siam dan Vietnam yang bertutur bahasa-bahasa berasal dari Austroasiatik.

Dr Mohamad Zain, yang berketurunan Campa, berkata kini masih terdapat beberapa bangunan, rumah yang berukiran bunga dan ayat suci Al-Quran yang menggambarkan pelbagai kisah menarik termasuk persekitaran fizikal dan sosio-budaya kerajaan silam Campa.

Ada di antara bangunan itu masih berdiri di dataran, di atas bukit dan di keliling sawah serta sungai-sungai yang indah. Bagaimanapun, bangunan-bangunan itu sudah berusia lebih 150 tahun dan tidak di pelihara dengan baik akibat pergolakan politik dan peperangan di Vietnam dan Kemboja.

Dr Mohamad Zain bersama beberapa rakan penyelidiknya telah memberikan sumbangan penting kepada perkembangan penyelidikan mengenai Campa dan masyarakat Islam di Indochina.

Beliau berkata satu ciri penting ialah kerajaan Campa adalah Kerajaan Melayu tertua dalam sejarah, kini sudah lenyap.

Dr Mohamad Zain adalah lepasan ijazah sarjana muda Sains (Fizik) daripada University of Phnom Penh pada tahun 1974, dan melanjutkan pengajian sarjananya di University of Sorbonne di Paris pada tahun 1987. Beliau menerima ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang tamadun Melayu di UKM pada tahun 2009.