Usaha Memulihkan Kualiti Air Di Tasik Chini

JUMAAT, 07 FEBRUARI 2014 07:59

Oleh Shahfizal Musa
Foto Izwan Azman

TASIK CHINI, 6 Feb 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memulakan kerja-kerja untuk memulihkan kualiti air di Tasik Chini supaya airnya akan jernih kembali.

Ini adalah berikutan beroperasinya Kompleks Makmal Air Tawar di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) UKM. Kompleks Makmal itu di biayai oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECEDRC).

Kunci Kompleks itu telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECEDRC, Dato’ Jebasingam Issace John kepada Ketua PPTC, Prof Dato’ Dr Musrifah Idris Jumaat lepas. Upacara itu disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar.

Prof Mazlin berkata apa jua penyelidikan yang dijalankan di Tasik Chini harus meningkatkan status sosio ekonomi masyarakat tempatan.

Beliau berharap air di tasik itu akan kembali jernih di mana bunga teratai yang pernah menjadi sinonim dengannya dapat tumbuh dan bercambah kembali.

Pemulihan kualiti airnya akan turut memberi impak positif kepada kehidupan liar di persekitaran dan tentunya akan menarik lebih ramai pelancong, tambah beliau.

Aktiviti pelancongan sudah ada dalam perancangan agar ia lebih mesra alam dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan dengan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, kata Prof Mazlin.

Prof Musrifah memberitahu Portal Berita UKM bahawa beliau berhasrat penyelidikan di tasik itu akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Mereka harus menerima faedah ekonomi dan sosial darinya, tambah beliau.

Beliau telah pun menubuhkan kumpulan pengkaji sosial dan ekonomi yang akan merumus cara untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan itu.

Fasa kedua pemulihan Tasik Chini telah pun dirancang untuk menjadikannya pusat ekopelancongan. Ini akan membuka peluang untuk masyarakat tempatan menjana pendapatan dari warisan dan keunikan yang ada pada mereka, kata Prof Musrifah.