Malaysia Hampir Capai Kesepaduan Sosial, Kata Prof Ulung Shamsul Amri

SELASA, 21 JANUARI 2014 11:15

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 19 Jan 2014 – Malaysia sudah hampir mencapai ‘kesepaduan sosial’ walaupun perpaduan masih merupakan suatu matlamat yang terus diidamkan.

Pakar antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengarah serta pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata rakyat Malaysia mesti menerima kedudukan masyarakat majmuknya dengan pelbagai budaya dan agama bagi mencapai perpaduan.

Berucap di persidangan dua hari Pemantapan Citra Kenegaraan: Perkongsian Pengalaman (COSMA3) yang dianjurkan oleh UKM di sini hari ini beliau berkata kesepaduan sosial tidak sama seperti perpaduan, dimana anggota masyarakat harus mempunyai pendapat yang sama mengenai segala isu penting.

Beliau telah menyampaikan ucap tamanya bertajuk Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan: Satu Negara, Tiga Konsep Keramat, di persidangan itu.

Prof Shamsul Amri menjelaskan apabila membincangkan kedudukan sesuatu kumpulan sosial, ia boleh dikatakan berada dalam keadaan kesepaduan apabila wujud hubungan antara anggota-anggotanya dan untuk kumpulan keseluruhannya.

Beliau berkata sebuah negara yang mempunyai penduduk terdiri dari hanya satu bangsa dan beragama sama pun sukar mencapai perpaduan apatah lagi sebuah negara seperti Malaysia yang terdiri dari masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Beliau berkata perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan adalah tiga konsep yang Malaysia berharap untuk mencapai, ia itu konsep yang tidak sama tetapi mempunyai kaitan.

Perpaduan sering diungkapkan oleh rakyat dan juga ahli politik ketika berbicara mengenai kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Namun perpaduan yang dikatakan itu hanyalah suatu impian yang belum tercapai. Ia adalah suatu matlamat yang diinginkan oleh sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Walau bagaimanapun, jika masyarakat kaum yang sama di negara-negara lain tidak boleh mencapainya, apatah lagi negara seperti Malaysia.

Namun biarpun perpaduan masih bersifat impian dan bukan pencapaian, bibit ke arah perpaduan tetap ada tetapi ianya adalah dalam bentuk kesepaduan.

“Kesepaduan merupakan satu keadaan yang tidak lengkap kerana kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang ada di negara ini,” tambahnya.

“Jadi kalau kita mahu menuju ke arah kesepaduan yang lengkap hingga mencapai perpaduan kita mesti menerima perbezaan, kalau tidak ia tidak akan berjaya,” tegas beliau.

Prof Shamsul Amri juga menjelaskan ada pihak yang mahu mengukur perpaduan sedangkan ia bukan suatu perkara yang ketara dan tidak boleh didapati dalam bentuk kuantiti. Namun demikian perpaduan boleh dipantau dan diperhatikan.

Persidangan dua hari COSMA3 itu telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Seramai 40 ahli akademik dari universiti awam dan swasta tempatan dan Indonesia membentangkan kertas penyelidikan mereka dalam persidangan itu.