Pilih Islam Kerana Kesedaran

KHAMIS, 02 JANUARI 2014 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 30 Dis 2013 – Umat Islam diseru untuk memilih Islam kerana kesedaran dan bukanya kerana matlamat peribadi.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata perlaksanaan Islam tidak bererti semua akan berjalan dengan baik hanya kerana menganggap Allah akan memihak kepada umat Islam.

Tun Abdul Hamid yang juga Profesor Adjung di Institut Islam Hadhari (HADHARI) berucap di Persidangan Sistem Dunia dan Tawhid yang ke10 di sini minggu lalu. Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh HADHARI, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata: “Askar Islam yang dipimpin oleh Rasulullah (SAW) sendiri dalam peperangan Uhud tewas bukan kerana niat atau kekurangan iman, tetapi disebabkan pasukan pemanah telah melanggar perintah dan meninggalkan tempat masing-masing kerana inginkan harta rampasan perang.”

Beliau mengaitkan peristiwa bersejarah itu dengan Perbankan Islam hari ini yang dipilih bukan kerana mahu mematuhi agama tetapi adalah kerana kepentingan diri. Itulah juga kenapa sejumlah besar pelanggan perbankan Islam terdiri daripada golongan orang bukan Islam.

Ia dipilih kerana perbankan Islam tidak mempunyai riba, denda kerana lewat membuat bayaran dan caj yang tidak berkaitan.

“Anda boleh melihat perangai sebenar peminjam apabila mereka gagal membayar balik pinjaman. Mereka akan menggunakan hujah bahawa pinjaman yang dibuat tidak menepati syariah untuk membatalkan perjanjian”.

Orang Islam begini adalah seperti seorang yang masuk ke dalam restoran dan membuat pesanan makanan, telah memakannya tetapi apabila menerima bil memberi alasan bahawa makanan itu tidak halal kerana mahu mengelak dari membayar.

Ini bukan sahaja berlaku di kalangan mereka yang enggan membayar balik pinjaman yang dibuat malah alasan demikian juga digunakan oleh pihak bank sendiri. Mereka akan memberi alasan yang produk mereka itu tidak menepati syariah hanya untuk mengelakkan daripada komitmen yang telah dibuat.

Beliau berkata sudah pasti mereka yang berbuat demikian tidak ambil kisah mengenai Tauhid.

Tun Hamid berkata setiap sistem boleh disalah gunakan dan dengan itu menyeru umat Islam tidak menjadikan Islam sebagai suatu label yang mereka pakai apabila ia menguntungkan sahaja.

Walhal Islam sepatutnya diamalkan dengan penuh ikhlas. Ini memerlukan kecekapan, kejujuran, disiplin dan kerajinan.

Tidak ramai yang tahu yang Tun Abdul Hamid telah kehilangan satu daripada dua peti suaranya ketika menjalani pembedahan. Bagaimanapun beliau mampu memberi ucapannya dengan baik sekali.