Prof Datuk Dr Noor Azlan Naib Canselor Baru UKM

KHAMIS, 02 JANUARI 2014 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi dan Izwan Azman

BANGI, 31 Dis 2013 – Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali hari ini menerima tugas sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru mulai esok, menggantikan Prof Tan Sri Dato’ Sri Dr Sharifah Hapsah Hasan Shahabudin.

Prof Sharifah Hapsah menyerahkan tugas itu dalam satu majlis ringkas penyerahan dan penerimaan pada hari terakhir beliau bertugas sebagai Naib Canselor.

Hadir pada majlis itu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Dato’ Dr  M Zawawi bin Ismail; para Timbalan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Rahmah Mohamad (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Ir. Dr Othman A Karim (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill (Jaringan Industri dan Masyarakat).

Turut menyaksikan penyerahan tugas itu adalah para dekan, timbalan dekan dan ketua-ketua pusat penyelidikan dan pegawai-pegawai kanan pengurusan UKM.

Prof  Noor Azlan sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) sejak tahun 2009.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang ekonomi dan adalah Ketua Kluster Pengurusan dan Ekonomi, Majlis Profesor Negara. Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan pentadbiran di UKM termasuk Dekan Graduate School of Business (GSB) dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP).

Selain itu, beliau  pernah memegang jawatan Pengarah Malaysian Development Institute, Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Penasihat Pengguna Kebangsaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Prof  Sharifah Hapsah dilantik sebagai Naib Canselor UKM pada  bulan Ogos tahun 2006. Sebelum itu beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Akademi UKM dan Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan UKM.

Beliau juga adalah Pengerusi Projek Agenda Kritikal Governans dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), Kementerian Pengajian Tinggi, Ahli Lembaga Penasihat Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Permata, Ahli Majlis Penasihat Wanita Negara (MPWN), Ahli Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Ahli Majlis Penyelarasan Dasar Permata Negara.

Prof Sharifah Hapsah juga pernah memegang jawatan Pengerusi dan CEO Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan bertanggungjawab menggubal akta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang mengambil alih peranan LAN.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau adalah ahli pengasas Executive Board of the Association for Medical EducationWHO Western Pacific Region (AMEWPR) dan ahli Executive Board of Global Knowledge Partnership (GKP).