Prof Riza Atiq Dilantik TNC Akademik Dan Antarabangsa

RABU, 08 JANUARI 2014 16:27

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 6 Jan 2014 – Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ir Riza Atiq Abdullah telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa yang baru.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang telah dilantik sebagai Naib Canselor baru UKM. Majlis Penyerahan dan Penerimaan tugas telah berlangsung di Canselori di sini hari ini.

Ketika menyerahkan tugasnya itu kepada Prof Riza Atiq, Prof Noor Azlan berkata: “Kita tidak mahu menjadi sebuah universiti di mana semuanya yang dilakukan menjadi serupa hingga tidak wujud kepelbagaian”.

Beliau berharap Prof Riza Atiq dapat menggunakan ilmu dan pengalaman bertahunnya di UKM membantu usaha pengurusan melonjakkan UKM sebagai sebuah Universiti cemerlang dan pelbagai.

Prof Riza Atiq berterima kasih kepada Prof Noor Azlan kerana kepercayaan pengurusan kepadanya serta rakan akademik dan staf-staf sokongan yang telah membantunya selama ini.

Beliau berazam menjulang UKM ke tahap lebih tinggi dengan berusaha menyediakan bahan pengajaran dan kursus baru yang boleh ditawarkan.

Beliau berkata tanggung jawab besar itu mustahil dapat dilaksanakan tanpa bantuan semua dan berharap mereka akan bersamanya untuk melonjakkan UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang lebih baik.

Turut hadir di upacara itu ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor yang lain, Ketua Jabatan, Ketua Kolej Kediaman dan staf-staf akademik UKM.