Rahsia Kejayaan KPJ Healthcare

SELASA, 28 JANUARI 2014 08:24

By Shahfizal Musa
Pix Shahiddan Saidi

BANGI, 23 Jan 2014 – Kejayaan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) menjadi sebuah kumpulan pusat kesihatan swasta yang terkehadapan di Malaysia adalah hasil komitmennya kepada kebajikan semua warganya dengan meningkatkan kapasiti mereka.

Penasihat dan Pengarahnya Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir berucap di syarahan umumnya yang dianjurkan Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini berkata amat penting warga kerjanya diiktiraf dan dimanfaatkan.

Dengan itu seseorang mungkin masuk ke KPJ sebagai jururawat tetapi boleh berakhir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif salah sebuah anak syarikatnya, kata beliau.

Peluang kerjaya demikian telah memastikan pekerja di KPJ setia dan berdedikasi kerana mereka tahu setiap pengorbanan mereka untuk syarikat akan mendapat perhatian dan pengiktirafan.

Ini menjadikan barisan hadapan KPJ iaitu pakar perubatannya jarang sekali meninggalkan syarikat. Sebaliknya ramai pakar dari hospital lain dapat ditarik untuk berkhidmat dengan KPJ, kata Datin Paduka Siti Sa’adiah.

Prinsip itu turut diamalkan dalam mengembangkan KPJ biasanya melalui pengambilalihan syarikat lain terdiri daripada hospital swasta yang dijalankan oleh doktor secara sendirian. Hospital itu boleh meningkatkan keuntungannya setelah diambil alih oleh KPJ.

Para doktor yang dahulunya pemilik syarikat pula tidak perlu risau dengan pengurusannya tetapi boleh memberi tumpuan kepada usaha utama mereka ia itu merawat pesakit.

Jadi ramai yang telah menjadi sebahagian daripada warga KPJ sejak hospital pertamanya dibuka pada tahun 1981. Hari ini ia mempunyai 23 pusat kesihatan di seluruh negara, tujuh dalam proses pembangunan dan dua pusat penjagaan warga emas.

“Kami memberi tumpuan kepada aktiviti penjagaan kesihatan pesakit dan dengan itu telah juga melabur dalam sesuatu syarikat untuk mempelajari keistemewaan mereka dalam sesuatu tugasan rawatan,” katanya.

KPJ telah melabur dalam sebuah pusat penjagaan warga emas di Australia untuk mempelajari bagaimana ia mengendalikan pusat itu. Pengetahuan yang ditimba itu akan dilaksanakan di Malaysia untuk memberi maanfaat kepada masyarakat setempat.

KPJ turut melabur sejumlah 23.37% daripada saham dalam Vejthani PCL yang mengendalikan Vejthani Hospital di Bangkok, Thailand. Sebab utamanya adalah untuk belajar mengenai perkhidmatan pelanggan yang diamalkan di Thailand.

Datin Paduka Siti Sa’adiah bagaimana pun mengakui KPJ juga pernah melalui beberapa kegagalan tetapi apabila berlaku ia tidak pula dijadikan alasan untuk tidak berkembang.

Beliau memberi dua prinsip yang boleh diamalkan oleh semua untuk mencapai kegemilangan dengan mengibaratkan perniagaan sebagai suatu perlumbaan.

Apabila menceburi sesuatu perniagaan anda perlu bergerak lebih pantas dari semua untuk maju ketika memulainya. Kemudian anda perlu mengubah corak untuk menjadikan perniagaan itu sebagai suatu contoh baik yang perlu diikuti.

Apa yang pasti adalah tidak ada model perniagaan yang akan membuahkan hasil sepanjang masa, jadi perubahan perlu dilakukan dari masa ke semasa untuk memberi nafas baru dengan melaksanakan inovasi kepada perniagaan.

Hadir di syarahan itu adalah Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Prof Madya Madeline Berma, para pensyarah, pelajar dan orang ramai.