Forum: Isu Gelandangan Perlu Ditangani Pada Peringkat Akar Umbi

ISNIN, 21 JULAI 2014 16:32

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 17 Julai 2014 – Fenomena gelandangan perlu ditangani di peringkat akar umbi dan tidak boleh di atasi hanya dengan mengharamkan mereka dari kawasan mewah di kota.

Satu forum Bicara Bangi atas tajukGelandangan di Kota – Konflik Tanggungjawab? yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju bahawa golongan gelandangan tidak boleh dilihat sebagai satu masalah bahkan pihak berkuasa perlu melihat apakah masalah yang mereka hadapi.

Peserta forum itu di Persada Canselori di sini hari ini mengakui bahawa tidak akan ada penyelesaian untuk membantu memberi tempat berteduh atau perlindungan kepada mereka jika pandangan stereotaip mengenai penghuni jalanan masih berterusan.

Ahli panel terdiri daripada Naib Canselor UKM Profesor Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali; pengasas dapur jalanan PERTIWI Puan Munirah Abdul Hamid dan penyelidik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Dr Mohd Suhaimi Mohamad. Perbincangan di pengerusikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Timbalan Ketua Setiausaha bagi Kesejahteraan Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Halimi Abdul Manaf yang mulanya mengesah akan hadir tetapi telah enggan mengambil bahagian di saat-saat akhir.

Prof Noor Azlan merujuk kepada isu yang timbul baru-baru ini apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi kata dua untuk mengharamkan dapur jalanan ​​dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang menunjukkan kepada orang ramai wujudnya kaum gelandangan hidup yang di pinggir oleh masyarakat.

Berita itu telah menimbulkan kesedaran ramai mengenai nasib rakyat jalanan yang tidak mempunyai tempat tinggal dan mencetuskan simpati besar terhadap mereka.

Ia sebenarnya bukanlah suatu masalah besar di Malaysia, kata  Prof Noor Azlan yang juga memuji aktivis dapur jalanan yang tetap dengan pendirian mereka untuk terus memberi makanan itu serta menggesa orang ramai menyokong mereka untuk memberi tekanan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menangguhkan keputusannya itu sehingga selepas Hari Raya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membentuk pasukan petugas yang menguruskan bantuan makanan sebagai langkah jangka pendek, kerana bantuan demikian tidak boleh kekal selamanya.

Akan wujud satu masa kelak apabila kita perlu berhenti memberi, tambah beliau lagi sambil menyarankan usaha inovasi yang dibenarkan syariah perlu difikirkan untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata masalah gelandangan mungkin berpunca dari keadaan perpecahan keluarga sebagai institusi.

Munirah, mengasaskan PERTIWI empat tahun lalu, berkata pihak berkuasa harus mengelak dari mengambil tindakan ke atas orang jalanan tanpa mendapat maklum balas daripada mereka dan NGO mengenai cara terbaik untuk menangani isu ini supaya mereka tidak akan menghadapi keadaan yang lebih memudaratkan.

Sebahagian daripada masalahnya ialah pihak berkuasa salah anggap bahawa puak gelandangan adalah pengemis. “Mereka bukannya pengemis tetapi terkial-kial untuk mencari makan,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan bahawa pemberian makanan secara percuma akan menggalakkan orang jalanan menjadi malas.

Munirah, yang mengendalikan dapur jalanan Pertiwi yang menyediakan makanan, rawatan perubatan asas dan gunting rambut kepada puak gelandangan, berkata pekerjaan rencam seperti menjual barang kitar semula pun memberikan lebih banyak wang kepada kaum jalanan berbanding dengan pekerjaan sepenuh masa seperti kerja kilang yang dikenakan pelbagai potongan gaji.

Ramai orang jalanan menghidapi penyakit mental dan fizikal, yang lain menjadi mangsa penderaan atau dari latar belakang yang bermasalah dan ada pula yang mempunyai masalah ketagihan minuman keras, katanya.

Terdapat juga bekas banduan, orang tua, orang miskin dan mereka yang mengamalkan gaya hidup lesbian, gay, biseksual atau transgender, tambah beliau.

Masalah latar belakang dan cara mereka menjalani kehidupan menyebabkan ramai di antara mereka sukar untuk mendapatkan kerja.

“Mereka tidak boleh melakukan kerja biasa pagi hingga petang. Mereka hanya boleh bekerja dua kali seminggu atau setengah hari kerana tumpuan pemikiran yang singkat,” kata Munirah.

“Ada orang yang tidak cukup cergas untuk bekerja kerana mereka telah bergelandangan begitu lama. Mereka telah mengidap banyak penyakit, jadi mereka tidak sihat. Semua kes-kes ini tidak termasuk dalam struktur kerajaan,” tambah beliau.

Dr Mohd Suhaimi – seorang penyelidik – menerangkan pengalaman peribadinya untuk membantu mereka. “Bukan semua di antara mereka mahu mematuhi peraturan apabila kita datang untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau telah bertemu dengan beberapa orang di antara mereka yang bergelandangan kerana pelbagai peristiwa yang mereka hadapi dalam kehidupan seperti kegagalan untuk menguruskan kewangan peribadi, dari keluarga pincang, keganasan rumah tangga, masalah kesihatan dan di buang kerja.

Beliau mengakui ramai di antara mereka menjadi gelandangan kerana telah di pinggir oleh masyarakat atau majlis perbandaran akibat gaya hidup yang pelik.

Beliau juga mengakui bahawa adalah semakin sukar untuk menyara hidup di Kuala Lumpur di mana pendapatan sebanyak RM900 sebulan pun boleh dianggap sebagai hidup di bawah paras kemiskinan walaupun untuk diri sendiri.