JAKIM Bayangkan Unsur Khianat Dalam Isu Coklat

SELASA, 01 JULAI 2014 11:19
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Izwan Azman

BANGI, 27 Jun 2014 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menolak kemungkinan ada unsur khianat dalam kes jenama coklat Cadbury di mana beberapa sampelnya dilaporkan mengandungi DNA babi baru-baru ini.

Hajjah Hakimah Yusoff dari Bahagian Hab Halal, Pejabat Pengarah JAKIM yakin dengan kaedah ujian halal yang dikendalikan JAKIM terhadap semua jenis coklat Cadbury seminggu sebelum tersiar di media sosial mendakwa terdapat beberapa sampel coklat itu dicemari DNA babi.

Hakimah memberitahu satu forum Bicara Bangi anjuran Jabatan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini bahawa JAKIM menjalankan ujian yang menyeluruh untuk mengesahkan persijilan halal bagi Cadbury.

Turut menyertai forum itu ialah Profesor Dato’ Zakaria Stapa dari FPI, Prof Madya Dr Sahilah Abd Mutalib dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Datuk Dr Ma’amor Osman dari Persatuan Pengguna Islam.

Hakimah berkata ummah Islam tidak perlu sangsi terhadap kelulusan JAKIM dan beliau telah mengandaikan terdapat pihak tertentu yang sengaja mahu memburukkan nama Cadbury dan juga JAKIM.

“Orang boleh suntikkan benda dalam beberapa sampel coklat itu dan hantarkannya ke makmal Kementerian Kesihatan walaupun sampel lain yang diperolehi Jabatan Kimia Malaysia tidak dicemari. Kita tak tahu bagaimana perkara demikian ini boleh dilakukan,” kata Hakimah.

JAKIM pada 2 Jun lalu telah mengesahkan tidak terdapat pencemaran dalam dua sampel coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang produk tenusu itu.

Terdahulu suatu laporan makmal dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyatakan bahawa dua produk coklat Cadbury yang mengandungi kekacang didapati mengandungi DNA babi.

Jabatan Kimia kemudiannya telah membuat ujian makmal sekali lagi dan mendapati Coklat Cadbury Roasted Almond dan Cadbury Hazelnut yang ditohmah sememangnya tidak mengandungi DNA babi berdasarkan keputusan yang diumumkan pada 2 Jun lalu.

Prof Zakaria berkata ummah harus menerima pendapat JAKIM kerana agensi itu sah menjalankan penyelidikan menyeluruh dengan syarat-syarat yang sangat ketat.

Prof Zakaria yang juga Penasihat Majlis Fatwa Kebangsaan memberitahu bahawa majlis itu mengesahkan pendapat JAKIM dan menyeru ummah Islam agar tidak sangsi terhadapnya.

Beliau kesal dengan sikap sesetengah pihak yang terus sangsi terhadap pengumuman kerajaan.

“Ada krisis keyakinan terhadap pihak berkuasa. Kita jangan percaya semua yang dimuatkan dalam media sosial,” tegasnya.

Datuk Dr Ma’amor pula bertanya kenapa JAKIM tidak mempunyai makmal ujian sendiri yang dijanjikan oleh kerajaan sejak lebih 10 tahun lalu.

Agak sukar bagi ummah berkeyakinan terhadap JAKIM jika ia terlalu bergantung pada institusi lain khasnya Jabatan Kimia untuk mengesahkan kedudukan halal/haram bahan makanan.

Dr Sahilah pula yakin bahawa Jabatan Kimia memberi khidmat yang cemerlang kerana menerima akreditasi ISO 105 bertaraf antarabangsa untuk mengesan bahan yang tidak halal dalam makanan.

Beliau yang menggunakan kemudahan jabatan itu berkata kaedah yang digunakan adalah sangat sensitif dan dapat mengesan DNA babi sehingga isi padu 0.005 mg.

Forum itu di pengerusikan oleh Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman dari HADHARI UKM.