Perubahan Sikap Penting Untuk Tingkatkan Produktiviti Ekonomi

SELASA, 08 JULAI 2014 14:26
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin 
Foto  Ikhwan Hashim

SETIA ALAM, Selangor, 1 Jul 2014 – Sasaran Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 bergantung kepada keupayaan rakyatnya berkreatif untuk memacu ekonomi tanpa dibelenggu dengan hasrat mahu mendapat hasil terbaik.

Ahli panel di Persidangan Daya Saing Produktiviti 2014 dan pelancaran Laporan Produktiviti di sini hari ini bersetuju bahawa rakyat Malaysia mesti digalakkan untuk menjalankan perniagaan dan menjadi inovatif di mana kerajaan mengurangkan kawalan ke atas ekonomi.

Kesimpulan persidangan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu mulanya dibangkitkan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, seorang ahli panelnya, yang menerangkan bahawa Malaysia ketinggalan dalam pendapatan walaupun mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kedudukan kompetitif yang tinggi bagi sebuah negara pendapatan pertengahan.

Ahli panel lain ialah Prof Bart Van Ark, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pakar Ekonomi The Conference Board; Dr Mazalan Kamis, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan dan Anthony Dass, Ketua Pakar Ekonomi di Ambank Group Berhad.

Prof Noor Azlan berkata walaupun Malaysia berada di tangga ke enam dalam Laporan Bank Dunia mengenai Urusan Perjalanan Perniagaan 2014 dan ke-12 dalam laporan Persaingan Dunia 2014 oleh Institut Antarabangsa untuk Pengurusan Pembangunan (IMD), pendapatan Malaysia adalah rendah berbanding dengan negara-negara tersenarai sebagai kurang kompetitif dan mesra perniagaan.

Beliau berkata objektif transformasi negara tidak boleh dicapai dengan hanya mengubah struktur tetapi juga memerlukan perubahan besar sikap rakyat terhadap banyak perkara, termasuk pengetahuan untuk pembangunan.

Mekanisme kerajaan yang sedia ada tidak akan dapat menampung permintaan untuk fleksibiliti dalam menjalankan perniagaan. “Biarkan Bukit Bintang diuruskan oleh Bukit Bintang, bukan DBKL,” katanya.

Dr Mazlan, yang mengetuai sebuah kumpulan pemikir yang berusaha mencari peluang perniagaan baru bagi Perak, berkata perubahan bermakna rakyat perlu melakukan perubahan bukan kerajaan.

Beliau sering ditanya di persidangan yang diikutinya bagaimana untuk mengubah Perak yang kini mundur kepada ekonomi yang berkembang seperti Selangor atau Pulau Pinang.

“Untuk mengubah Perak, kita perlu mengubah rakyat Perak,” sambil mengakui ia adalah suatu perkara yang amat sukar dilakukan.

Perak tidak lagi seperti dahulu kerana telah kehilangan daya saing sejak kejatuhan industri bijih timah pada awal 1980-an. Ia masih terlalu bergantung kepada kerajaan, di mana 60% daripada pekerjanya adalah kakitangan awam.

Hampir separuh daripada mereka pula mempunyai pendidikan peringkat rendah dengan kurang daripada 6% adalah lulusan universiti.

Dass dari kumpulan Ambank menegaskan: Jika Malaysia terus membangun seperti sekarang, ia akan mengambil masa 19 tahun untuk mencapai peringkat Korea Selatan hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia begitu taksub dengan pensijilan ISO dan pemiawaian hingga mereka sudah tidak lagi berinovatif dan kreatif.

Rakyat Malaysia perlu diyakini bahawa produktiviti dan inovasi adalah kunci kepada kemakmuran.

Beliau berkata anak-anak muda di sekolah perlu dididik menjadi modal insan. Faedah yang disediakan oleh kerajaan seperti pinjaman pendidikan PTPTN telah membuat remaja menjadi terlalu leka hingga merasakan mereka tidak lagi perlu berusaha.

Prof Bart Van Ark, yang menguruskan sebuah kumpulan pemikir di Belanda, menyalahkan budaya tempatan menentang perubahan di Malaysia. Beliau berkata Malaysia memerlukan perubahan minda untuk meningkatkan produktiviti pekerja kerana ini dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan pertumbuhan dalam semua sektor.

Pengarah Pusat Daya Saing Dunia (IMD) Prof Arturo Bris berkata kadar 2.3% produktiviti bagi Malaysia adalah sangat rendah bagi sebuah negara tergolong sebagai negara berpendapatan sederhana.

“Kerja produktif yang sebenarnya perlu ditingkatkan manakala sektor pembuatan perlu bergerak lebih pantas dalam tahap inovasi bernilai tinggi,” kata Prof Bris.

Walaupun nisbah penyelidikan dan pembangunan kepada KDNK adalah agak baik tetapi bilangan hak cipta di Malaysia masih rendah, tambah beliau.