Separuh Pelajar Perubatan UKM Menghadapi Masalah Tekanan

SELASA, 08 JULAI 2014 15:20

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Shahiddan Saidi

BANGI, 3 Julai 2014 – Hampir separuh, iaitu 49%, daripada semua siswa perubatan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras, Kuala Lumpur didapati mengalami tekanan (stres).

Satu kajian yang dilakukan tahun ini oleh sekumpulan pelajar perubatan tahun keempat juga mendapati separuh (50%) daripada siswa di tahun pertama mengalaminya.

Bagaimanapun kajian itu mendapati 48% daripada siswa tahun ketiga mengalami tekanan, iaitu kurang daripada jumlah keseluruhan.

Ketua pasukan pengkaji, Amir Abdul Rahman memberitahu Portal Berita UKM pada Mesyuarat Tahunan mengenai Penyelidikan Saintifik Mahasiswa Perubatan (MUASRM) 2014 baru-baru ini di Kuala Lumpur bahawa beliau dan rakan-rakannya telah mengambil sampel dari 234 orang pelajar perubatan dengan hanya tiga orang yang tidak menjawab.

Penyelidik Norsyafiqah Abdullah dan Chu Pei Shan yang menganalisis data berkata terdapat hubungan ketara di antara tahun pengajian dan tekanan sebagaimana juga antara kumpulan etnik.

Mereka berkata kaedah yang lazim digunakan untuk menghadapi tekanan adalah untuk belajar dengan lebih tekun supaya berjaya dalam peperiksaan.

Kaji selidik itu mendapati majoriti siswa Melayu, sehingga 63%, mengalami stres diikuti oleh China dengan 28% manakala hanya 9% siswa India mengalaminya.

Amir berkata penyelidikan itu dilakukan berikutan suatu insiden di mana seorang pelajar tahun ketiga membunuh diri dua bulan sebelum itu kerana menghadapi beberapa masalah berkaitan dengan tekanan.

Mereka ingin tahu sama ada keadaan itu boleh dikesan lebih awal dan tindakan sewajarnya seperti kaunseling dan pengaruh rakan sebaya boleh dilakukan.

Kajian itu mendapati ramai responden di tahun pertama mengakui mereka tidak suka kursus yang mereka ikuti tetapi tidak bersedia untuk bertukar kursus kerana tekanan keluarga dan segan dengan ibu bapa.

Walau bagaimanapun ada juga pelajar yang sanggup bertukar kursus untuk mengikuti pengajian yang mereka sukai.

Kesimpulan kajian itu ialah wujudnya tekanan tinggi di kalangan ramai pelajar tahun pertama suatu perkara yang lebih buruk daripada apa yang dijangkakan. Kebanyakan responden berusaha mengatasi tekanan yang mereka hadapi dengan membabitkan diri sepenuhnya dengan pelajaran.

Penyelidik itu mencadangkan universiti melaksanakan beberapa kaedah pengurusan stres untuk mengelak kejadian tidak diingini dari berlaku pada masa hadapan.

Mereka mengakui bahawa pendidikan tinggi sentiasa dikaitkan dengan keadaan stres, terutamanya bagi siswa dari fakulti perubatan yang memerlukan mereka memberi tumpuan tinggi terhadap pelajaran.

Mereka juga bimbang dengan keadaan di mana hampir separuh daripada semua pelajar perubatan di UKM mempunyai masalah berkaitan dengan stres.