UKM Dan ASWARA Mengukuhkan Kerjasama Seni Dan Budaya

ISNIN, 14 JULAI 2014 15:39

Oleh Abd Raai Osman
Foto Abd Raai Osman

KUALA LUMPUR, 7 Julai 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju untuk meningkatkan perkongsian ilmu dalam bidang kesenian dan kebudayaan dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Suatu perjanjian persefahaman (MoU) telah di tanda tangani antara kedua institusi itu di ASWARA di sini hujung bulan lalu sempena Majlis Jalinan Budi ASWARA 2014.

Perjanjian itu membolehkan kerjasama antara kedua institusi itu mempertingkatkan pendidikan seni budaya pelajar mereka serta pemindahan teknologi kesenian dan kebudayaan antara mereka.

Warga Pusat Kebudayaan UKM juga akan menerima latihan di ASWARA bagi memperkukuhkan kebolehan persembahan dan profesionalisme mereka.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata Pusat Kebudayaan UKM memainkan peranan penting dalam pengurusan pendidikan, penyelidikan serta penerbitan dalam bidang kesenian.

Kerjasama itu akan memantapkan fungsi mereka untuk membangunkan kemerlangan kebudayaan ke tahap yang lebih tinggi disamping membantu memanfaatkan kebolehan warga budaya UKM.

ASWARA mempunyai banyak kelebihan dan kemudahan serta kepakaran dalam bidang seni yang boleh dimanfaatkan oleh warga budaya UKM, kata Prof Noor Azlan.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim memuji usaha UKM dan ASWARA memeterai perjanjian itu yang akan memartabatkan lagi pengajian Melayu di pusat pengajian tinggi.

Turut hadir ialah Rektor ASWARA, Prof Dr Hatta Azad Khan; Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Nor Aziah Mohd Awal; Pendaftar UKM Puan Asmahan Musa; Ketua Pusat Kebudayaan UKM Datuk Drs Rafae Mohamad dan pegawai-pegawai kanan UKM dan ASWARA.