Doktor Dinasihati Bersiap Untuk Hadapi El Niño

ISNIN, 16 JUN 2014 11:52

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2014 – Para doktor perlu bersedia menghadapi kemungkinan kemunculan pelbagai penyakit baru serta perubahan fisiologi pesakit disebabkan iklim El Niño menjelang bulan September ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata El Niño akan menyebabkan peningkatan suhu udara  hingga menggalakkan pembiakan pelbagai jenis serangga yang membawa beberapa jenis penyakit yang boleh menjangkiti ramai orang.

Berucap merasmikan mesyuarat tahunan Siswazah Perubatan mengenai Penyelidikan Saintifik Perubatan di Fakulti Perubatan di sini hari ini, beliau berkata terdapat juga kemungkinan penyakit tropika yang telah dibanteras dan dihapuskan muncul kembali hingga dikhuatiri membawa penyakit yang boleh mencetuskan wabak besar.

Beliau bimbang tubuh manusia juga akan bertindakbalas secara berbeza kepada rawatan perubatan dan ini akan memberi cabaran besar kepada doktor untuk merawat pesakit.

Kesan El Niño dijangka akan menyebabkan sistem cuaca di seluruh dunia menjadi tidak menentu dengan hujan lebat dan tanah runtuh di sesetengah kawasan manakala berlaku pula kemarau di tempat lain. Semua ini akan mengganggu rantaian makanan hidupan laut.

Perubahan iklim juga akan memberi kesan kepada penyakit tropika dan doktor mesti bersedia untuk menghadapinya.

Prof Mazlin menasihati pelajar perubatan yang hampir tamat pengajian mereka untuk lebih peka terhadap keperluan pesakit. Kini semakin ramai rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi serta mengetahui pelbagai perkembangan mengenai kesihatan mahukan doktor yang merawat mereka juga mempunyai pengetahuan yang lebih luas.

Doktor harus peka dengan keperluan pesakit dan dapat memberi penjelasan penyakit yang dialami kepada keluarga serta rakan-rakan pesakit.

Beliau juga memberitahu bahawa pengurusan UKM sedang menimbang untuk menjadikan Cheras sebagai sebuah Medicalpolis memusatkan fakulti-fakulti Pergigian, Farmasi dan Sains Kesihatannya di Hospital UKM sebagaimana terdapat di negara-negara maju.

Prof Mazlin juga mahu pegawai-pegawai perubatan lebih berinovatif untuk dapat mencipta produk peranti dan farmaseutikal yang boleh dipasarkan.

Beliau memberitahu bahawa pada masa ini, sektor swasta hanya menerima 25% sahaja produk yang disarankan universiti-universiti. Model ini mesti diubah dan berharap profesional perubatan akan bekerjasama dengan penyelidik dalam syarikat-syarikat dari awal lagi.

Seramai kira-kira 200 orang pelajar perubatan tahun akhir dari semua universiti awam dalam negara telah mengambil bahagian dalam mesyuarat tahunan itu yang diadakan sejak 2009. Persidangan itu diaturkan sepenuhnya oleh pelajar perubatan UKM.

Mereka disusun mengikut beberapa kategori kumpulan. Setiap kumpulan diberi peluang memilih jenis penyelidikan yang mereka minati, dari pra-klinikal hingga ke klinikal perubatan, di samping meningkatkan kemahiran mereka dalam berkomunikasi.