Kem Sains UKM Untuk Murid Sekolah Dijadikan Acara Tahunan

RABU, 11 JUN 2014 11:16

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Jun 2014 – Kem sains cuti sekolah yang dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk pelajar sekolah rendah dan menengah akan dijadikan acara tahunan.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang menutup kem itu hari ini melahirkan rasa kagumnya dengan pencapaian dan semangat pelajar yang menyertainya serta mencadangkan dijadikan acara tahunan selain diperluas dengan mengadakan kem seumpama untuk pengajian sains sosial.

Kem tiga hari tahun ini yang baru sahaja selesai telah diikuti oleh seramai 120 orang murid berumur antara 10 hingga 17 tahun yang datang dari seluruh negara termasuk Singapura.

Pada mulanya seramai 150 orang murid telah terpilih tetapi hanya 120 orang daripada mereka dapat menyertainya kerana kekurangan kemudahan serta ruang makmal yang terhad. Seramai 88 orang kanak-kanak sekolah menyertainya tahun lalu.

Prof Noor Azlan juga mencadangkan UKM menubuhkan Kelab UKM Junior atau yang seumpama untuk murid-murid yang telah mengikuti kem itu dan kem-kem lain yang akan diadakan kelak.

Beliau juga mencadangkan murid-murid yang menyertai kem cuti sekolah UKM itu diberi sijil dan jika mereka melengkapkan satu set kem, yang merangkumi kem sains dan kem sains sosial mereka boleh dijadikan ahli UKM Junior.

Ahli UKM Junior yang mendaftar untuk masuk ke universiti dan memilih UKM akan diberi merit tambahan atau diberi keutamaan kerana mereka telah menjadi sebahagian daripada UKM melalui kem-kemnya itu, kata Prof Noor Azlan.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Prof Dr Sahrim Bin Hj Ahmad menyambut baik syor untuk memperkembangkan kem sains itu dan mencadangkan makmal-makmal sains yang lain digunakan untuk kem demikian pada masa akan datang.

Ketua Program, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi yang juga Ketua AJK Induk Program Science Camp 2014 itu, Dr. Rizafizah binti Othaman berkata kem itu bertujuan untuk perkenalkan kanak-kanak sekolah kepada keindahan dan keseronokan sains.

“Kami mahu mereka terpesona dengan sains semula, kerana terdapat penurunan bilangan pelajar yang memilih sains akhir-akhir ini dan lebih ramai memilih kursus dan mata pelajaran berasaskan sains sosial,” kata Dr Rizafizah.

Murid sekolah yang menyertai kem itu telah dibawa melihat dan menggunakan makmal sains di FST untuk membolehkan mereka mengalami pembelajaran sains sepenuhnya.

Penggunaan kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam kem itu membolehkan mereka bukan sahaja mempelajari sains tetapi juga mengajar mereka bahasa Inggeris.

Tema kem sains itu adalah sains menyeronokkan atau “Sains-tastic”, digunakan untuk mendedahkan murid-murid kepada keseronokkan mempelajari sains dan ia boleh di pelajari secara menyeronokkan.

Seramai 19 orang fasilitator telah membantu ahli jawatankuasa  mengendalikan kem itu. Mereka terdiri dari pelajar pasca siswazah FST, yang sedang menghabiskan kursus Sarjana atau PhD mereka.

Nurul Izzaty bt Khalid, seorang pelajar pasca siswazah yang belajar Kimia di FST adalah salah seorang fasilitator yang membantu membimbing dan menyelia peserta.

Kem Sains selama 3 hari itu merangkumi pelbagai aktiviti bersangkuitan dengan pembelajaran sains.