Malaysia Perlukan Lebih Ramai Kaunselor Berdaftar

JUMAAT, 13 JUN 2014 10:08

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Jun 2014 – Malaysia memerlukan sehingga 50,000 orang kaunselor tetapi kini mempunyai hanya 5,082 orang yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata keadaan ini amat kritikal kerana semakin ramai rakyat Malaysia mula selesa dan mempercayai penggunaan kaunselor untuk masalah yang mereka hadapi seperti tekanan kerja, trauma, masalah keluarga dan masalah perkahwinan.

Berucap merasmikan Program Bicara Sakinah di Universiti Kebangsaan Malaysa (UKM) di sini baru-baru ini, beliau berkata seramai 50,569 rakyat Malaysia telah menggunakan perkhidmatan kaunselor sejak perkhidmatan itu bermula pada tahun 2006 melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Program Bicara Sakinah adalah sebahagian daripada “Temasya Muamalah Islam Sempena Program Dakwah Negara 2014” yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang telah berlangsung di UKM.

Rohani berkata kaunseling memberi kesan kepada mereka yang mendapatkan khidmat nasihat itu termasuk mengenai perkahwinan. LPPKN kini mempunyai 69 orang kaunselor yang memberi khidmat di 59 buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN.

LPPKN bertujuan meluaskan perkhidmatan itu dengan menyediakan kaunseling untuk keluarga melalui hubungannya dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Pendaftaran, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional serta badan-badan lain.

Beliau berkata banyak universiti dalam negara mengeluarkan ramai graduan psikologi setiap tahun dan berharap  mereka itu akan mendaftar dan bertugas sebagai kaunselor yang diiktiraf.

Pendaftaran mereka juga akan membolehkan kementerian memantau kemajuan perkhidmatan itu bagi menentukan kerajaan mempunyai kaunselor berdaftar yang mencukupi dan boleh memberi perkhidmatan sekiranya berlaku sesuatu peristiwa buruk hingga menjadi suatu krisis nasional.

Rohani menyebut bagaimana kementeriannya diletakkan pada fasa krisis selepas keluarga penumpang pesawat MAS MH370 tiba di sini dari China yang memerlukan khidmat kaunselor untuk membantu mereka menghadapi keadaan mencabar itu.

Pada mulanya kementerian tidak mempunyai kaunselor yang mencukupi kerana tidak ramai daripada anggota keluarga itu boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala loghat bahasa Mandarin yang mereka gunakan berbeza dengan Mandarin yang digunakan di Malaysia.

Menjawab satu pertanyaan, Rohani menyebut kesulitan kementerian dan kaunselornya menghadapi kesulitan untuk menangani masalah yang dihadapi gadis berumur 15 tahun yang mengalami trauma akibat di rogol beramai-ramai baru-baru ini di Kelantan.

Bagaimanapun kementeriannya akan terus membantu memberi kaunseling kepada mangsa dan keluarganya.

Beliau berkata kejadian seperti itu adalah satu perkara yang sangat menakutkan dan kementeriannya akan terus melakukan yang terbaik untuk memantau keadaan mangsa semasa pemulihannya.