Pasukan UKM Menjuarai Pertandingan Mahkamah Moot Sedunia

ISNIN, 30 JUN 2014 15:31

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 26 Jun 2014 – Pasukan pendebat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjuarai pertandingan mahkamah moot Akademi Undang-undang Udara dan Angkasa Lepas Antarabangsa di Paris Peranchis minggu lalu.

Pertandingan itu telah berlangsung di Cerlce National de Armees di St Augustin Paris.

Salah seorang daripada mereka Alex Choo Wen Chun telah dinobatkan sebagai peserta individu terbaik dalam kejohanan itu. Anggota lainnya terdiri daripada Aisha Nazura Rosli, Zaky Abdul Shukor dan Lilian Lee semuanya dari Fakulti Undang-undang.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka berkata UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang mendaulatkan Bahasa Melayu tidak menjadi penghalang untuk pelajarnya mencapai kejayaan dalam pertandingan yang bergantung kepada kemahiran dan kekuatan dalam bahasa Inggeris.

Prof Azlan berkata Fakulti Undang-undang UKM, juga telah dikenal pasti sebagai fakulti undang-undang terbaik di negara ini.

Mereka sebelum itu telah menjuarai pertandingan di peringkat kebangsaan dan kemudiannya di peringkat serantau hingga berjaya mewakili Asia di peringkat antarabangsa itu.

Kemenangan mereka adalah hasil kerja keras yang telah mereka curahkan termasuk berlatih di UKM semasa pelajar lain balik cuti semester sehingga larut malam.

Mereka telah menunjukkan bahawa pelajar UKM mampu menjuarai pertandingan walaupun di peringkat dunia.