Program UKM Untuk Tingkatkan Minat Terhadap Sains Dan Teknologi

KHAMIS, 12 JUN 2014 10:57

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

TROLAK, PERAK, 7 Jun 2014 – Suatu program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menggalakkan murid sekolah memilih Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai kerjaya telah dilancarkan di sini hari ini untuk anak-anak peneroka FELDA.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang melancarkannya berkata program dikenali sebagai Bitara STEM Felda-UKM itu adalah suatu skim yang unik serta tepat pada masanya kerana Malaysia amat memerlukan ekonomi yang dipacu oleh teknologi.

Seramai 200 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga terdiri daripada anak-anak peneroka Felda telah menyertai kem selama lima hari itu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)di sini. Mereka dibantu oleh 70 orang mahasiswa UKM sebagai fasilitator dan 20 orang pensyarah sebagai mentor.

Kem tersebut merupakan suatu inisiatif di bawah Majlis Penasihat Global Sains dan Inovasi, yang dipengerusikan Perdana Menteri dan mengikut apa yang dijalankan oleh New York Academy of Sciences.

Dato’ Sri Najib berkata negara kini sudah ketinggalan dalam mata pelajaran STEM jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau ini.

Sambil menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dalam STEM beliau berkata bahawa usaha yang lebih bersungguh-sungguh diperlukan untuk menjayakannya.

Ia adalah serius kerana negara perlu bersaing dengan negara-negara lain pada abad ke-21. Semua pihak perlu berusaha untuk memastikan negara akan mempunyai lebih ramai graduan dalam bidang itu, katanya.

Dato’ Sri Najib berkata kini 60% daripada pelajar mengambil bidang sastera dan hanya 40% sahaja dalam bidang STEM padahal perangkaan itu sepatutnya terbalik.

Beliau berkata Malaysia berada di bahagian ketiga terbawah dalam Program Antarabangsa Penilaian Pelajar (PISA) bagi tahun 2012.

Bagi ujian kajian Trend Matematik dan Sains (TIMMS) pula Malaysia berada di tempat 26 daripada 42 buah negara dan hampir 38% daripada pelajar berumur 14 gagal mencapai markah minimum bagi mata pelajaran Matematik dan Sains, katanya.

“Kaji selidik itu adalah tanda-tanda bahawa pelajar kita perlu mengukuhkan subjek STEM,” tambah beliau lagi.

Kementerian Pendidikan sendiri mengakui fakta demikian apabila menilai pelajar melalui pelbagai kaedah dan kaji selidik.

Kebanyakan pelajar bukan sahaja mempunyai persepsi bahawa subjek STEM adalah sukar tetapi amat tidak menarik bagi mereka apabila hendak meneruskan pelajaran.

Persepsi demikian serta sikap dan motivasi yang rendah adalah sebab kenapa pelajar tidak meneruskan mata pelajaran itu di peringkat yang lebih tinggi, apatah lagi mencari kerjaya yang berkaitan dengan STEM.

Semua rakyat berperanan untuk menggalakkan pelajar mempunyai minat dalam mata pelajaran itu, katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan sebuah makmal STEM di MRSM Felda Trolak, yang akan diperluaskan ke semua daerah Felda mulai tahun depan.

Beliau berkata 10 pelajar terbaik daripada makmal itu akan diberi peluang untuk menghadiri kem STEM antarabangsa di New York pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Turut hadir pada pelancaran itu Naib Canselor UKM Profesor Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali, serta Timbalan-timbalan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, Prof Ir Dr Riza Atiq OK Rahmat dan Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, Dekan Fakulti Pendidikan Prof Dr Lilia Halim yang juga Pengerusi program itu dan penyelarasnya Dr Mohd Sattar Rasul.

Perdana Menteri kemudiannya telah melawat pelbagai projek sains yang dijayakan oleh pelajar-pelajar di majlis itu.