UKM Terajui Misi Kemanusiaan Pasca Gempa Bumi Di Aceh Tengah

KHAMIS, 05 JUN 2014 15:01

Oleh Abd Razak Hussin
Foto Ikhwan Hashim

ACEH TENGAH, Indonesia, 30 Mei 2014 – Misi kemanusiaan pasca gempa bumi yang melanda Aceh Tengah Indonesia telah digerakkan sekali lagi baru-baru ini oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan disertai Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Stesen Television TV3.

Delegasi UKM diterajui Pejabat Hubungan Masyarakat dan dianggotai pegawai Pusat Komunikasi Korporat, Jabatan Bendahari dan Unit Zakat.

Perjalanan dari Banda Aceh mengambil masa 14 jam untuk sampai ke Kampung Cangduri, Kampung Blang Mancung, Kampung Bah dan Kampung Srempah, Mukim Ketol, Aceh Tengah.

Kampung-kampung itu menerima kesan besar akibat gempa bumi berukuran 6.7 pada skala richter pada 2 Julai 2013 yang memusnahkan rumah kediaman, kemudahan awam dan mengorbankan 38 orang.

Di Kampung Cangduri, sumbangan wang bernilai Rupiah 225 juta (RM65,000) disampaikan kepada Ketua Kampung bagi membantu membangunkan semula madrasah dengan kos RM100,000. Ia akan digunakan juga sebagai masjid dan pusat kegiatan masyarakat.

LZS turut menyumbang 300 kampit beras yang diagihkan kepada penduduk di kesemua kampung tersebut.

Misi kemanusiaan kali ini mendapati Kampung Blang Mancung perlukan bantuan yang besar dan segera untuk membina semula masjid yang telah musnah akibat gempa bumi itu dan mengorbankan enam orang kanak-kanak yang sedang menunggu waktu untuk pengajian al-Quran.

Beberapa siri program akan disiarkan TV3 untuk merayu masyarakat menyalurkan sumbangan bagi pembinaan semula masjid di Kampung Blang Mancung.