Universiti Perlu Beri Manfaat Kepada Masyarakat Sekitarnya

SELASA, 24 JUN 2014 23:51

Oleh Shahfizal Musa
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Jun 2014 – Sesebuah universiti untuk terus kekal relevan perlu memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali hari ini.

Beliau telah memberi pandangannya itu setelah melawat karnival anjuran Persatuan Bandar Baru Bangi (BANGIKU) dan Pusat Sukan Uptown di sini yang turut disertai UKM sebagai sebahagian daripada program UKM4BANGI.

Program UKM4BANGI itu berhasrat menjadikan Bangi sebagai suatu ekosistem bandar teladan dari segenap aspek termasuk kemajuan sosial, ekonomi dan rohani.

Prof Noor Azlan berkata memandangkan UKM mempunyai pakar dalam hampir setiap bidang kehidupan dan telah juga menjalankan pelbagai penyelidikan, hasilnya boleh digunakan untuk memberi manfaat khususnya kepada masyarakat sekelilingnya.

Penyertaan UKM dalam karnival itu adalah suatu usaha untuk terlibat dengan masyarakat secara lebih komprehensif. Selain daripada sumbangan biasa seperti pemeriksaan kesihatan, pengukuran tekanan darah, ujian paras gula dalam darah dan berat badan ideal, warga UKM juga telah melakukan pelbagai aktiviti lain.

Antaranya, menawarkan khidmat nasihat sakit puan dan kesihatan khusus kepada lelaki berumur 40 tahun ke atas oleh pakar perubatan, khidmat bantuan guaman percuma yang ditawarkan kepada hadirin serta nasihat undang-undang.

Pusat Sains Angkasa UKM pula memberi tunjuk ajar kepada muda mudi cara mengambil alih helikopter kawalan jauh menggunakan komputer riba.

Presiden BANGIKU Hj Ahmad Sufie Munasir berterima kasih kepada UKM kerana sudi turun padang untuk memberi pelbagai khidmat kepada masyarakat sempena karnival itu.

Beliau berharap UKM boleh bekerjasama dengan BANGIKU untuk membersihkan Sungai Langat yang tercemar supaya ia boleh dijadikan sebagai tempat rekreasi, berkelah dan mungkin pada suatu hari kelak untuk mengadakan sukan air di sungai itu.