Usaha Menangani Krisis Dan Peranan Media

KHAMIS, 19 JUN 2014 07:52

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Jun 2014 – Bagaimana Perdana Menteri Malaysia mengendalikan sesuatu krisis dan isu dalam tempoh perkhidmatan mereka adalah dipengaruhi oleh keadaan yang dihadapi negara pada sesuatu masa itu.

Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berkata demikian ketika memberi ceramah bertajuk “Menghadapi Krisis Dalam Keadaan Media Semasa: Bagaimana Perdana Menteri Menanganinya”. Ceramah itu dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau telah memberi pandangannya mengenai bagaimana seseorang Perdana Menteri menguruskan krisis yang mereka hadapi dan peranan media dalam setiap krisis yang mencerminkan persekitaran dan situasi pemerintahan setiap Perdana Menteri.

Kadir seorang wartawan berpengalaman mula bekerja pada waktu terakhir Tunku Abdul Rahman memegang tampuk pemerintahan kerajaan. Beliau menghuraikan persekitaran berbeza yang dihadapi Tunku berbanding dengan Perdana Menteri sekarang Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Suasana negara amat berbeza pada masa itu. Pilihan raya 1969 baru saja selesai dan kerajaan hampir kalah kepada pembangkang. Ketegangan antara kaum telah membara selepas pilihan raya hingga mencetuskan pergaduhan kaum  pada 13 Mei. Perkara itu berlaku sebelum adanya internet”, kata Kadir.

Pengaruh media ketika itu tidak sekuat sekarang tetapi apa yang ada telah digunakan sepenuhnya. Surat, poster dan artikel dikeluarkan secara besar-besaran semasa berkempen.

Media arus perdana seperti akhbar, majalah, radio dan televisyen dikawal kerajaan dan menjadi faktor yang membolehkan kerajaan yang memerintah dapat menangani apa saja keadaan.

Internet belum lagi digunakan pada zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dan ini memudahkan pengendalian sesuatu krisis yang timbul dalam negara.

Internet hanya berperanan apabila mula digunakan semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir  Mohamad. Pada masa itu Mahathir dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghadapi krisis antara mereka.

Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) telah diwujudkan pada tahun 1996 dengan aspirasi untuk menjadi hab global bagi inovasi ICT dan multimedia. Ini adalah usaha untuk mengubah Malaysia kepada ekonomi berdasarkan pengetahuan dalam usaha mencapai status negara maju selaras dengan Wawasan 2020.

MSC Malaysia mula berkembang semasa zaman Tun Mahathir tetapi beliau sendiri tidak mendapat peluang untuk menggunakannya.

Datuk Kadir menyebut bagaimana Anwar menyedari potensi MSC Malaysia apabila dilancarkan dan telah menggunakannya untuk mendapat simpati dan sokongan sepanjang skandalnya pada tahun 1998.

Disebabkan kejadian itu, internet di Malaysia dikuasai oleh mereka yang menyokong pembangkang manakala penyokong kerajaan kebanyakannya masih membaca media arus perdana dan masih berpegang kepada berita yang dicetak daripada menggunakan internet.

Walaupun masih di peringkat awal ketika itu, internet telah menunjukkan kuasa yang boleh digunakan ke atas politik, orang politik, orang awam serta berita dan bagaimana ia membawa kepada perubahan peraturan penggunaan media dan komunikasi.

Dari enam Perdana Menteri, beliau berkata Najib telah menghadapi masa yang paling sukar sepanjang tempoh perkhidmatannya sehingga kini kerana persekitaran dan keadaan semasa yang beliau warisi.

Internet dan teknologi, ditambah dengan muda-mudi sekarang yang tidak mengetahui sejarah dan kedudukan negara telah mencetuskan pelbagai forum dalam internet, debat, pertikaian dan cemuhan yang disasarkan kepada Najib dan kerajaan pimpinannya.

Sebarang krisis yang mungkin Malaysia hadapi, Najib terpaksa mengendalikannya dengan mengetahui bahawa setiap tindakan yang beliau ambil akan diperbesarkan dengan gambar yang diambil melalui kamera di telefon dan dihantar terus ke internet.

Beliau berkata walaupun Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang wujud selepas perang seperti masalah kemiskinan, komunisma, rusuhan, pergaduhan kaum dan agama tetapi mereka dapat menguruskannya kerana mereka mempunyai kawalan yang kukuh ke atas media.

Setiap langkah yang mereka ambil dan apa saja tindakbalas yang mungkin berlaku, penyebaran ceritanya dapat dikawal di media.

Bagaimanapun kemajuan teknologi telah memberi kuasa kepada media untuk mempertikaikan usaha pengurusan krisis oleh kerajaan, bukan sahaja di Malaysia.

Sekarang ini tiada maklumat yang boleh lagi disembunyikan kerana semuanya boleh didapati dengan mudah melalui komputer. Tidak ada lagi yang rahsia. Bagaimanapun apa saja yang dijumpai dan dibaca di internet tidak boleh dipercayai sebulatnya jika tiada bukti.

Masa sudah berubah dan kerajaan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa teknologi yang sedang berkembang maju kalau tidak mahu kehilangan pengaruh daripada masyarakat, kata Kadir.