Kakitangan Akademik Perlu Berinovasi Untuk Hayati Perubahan

RABU, 05 MAC 2014 09:14

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

SEPANG, 25 Feb 2014 – Kakitangan akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu menerima perubahan dan sanggup mencabar cara pengajaran konvensional.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata masa semakin berubah dan universiti juga perlu berubah untuk bersaing dengan dunia bagi memenuhi kehendak pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian mereka di UKM.

Beliau telah berucap di pembukaan Kongres Pengajaran dan Pembelajaran UKM 2013 yang telah berlangsung di Hotel Sama-sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Prof Noor Azlan memberi tahu kakitangan akademiknya yang menghadiri kongres dua hari itu bahawa amat penting bagi mereka dapat menyesuaikan diri untuk terus menjadi relevan menghadapi alam cyber sekarang.

“Kita perlu menjadi unik. Kita juga perlu menstruktur semula jabatan dan fakulti untuk mengikuti trend pendidikan semasa. Jika kita tidak berubah, kita akan menjadi tidak relevan,” kata Prof Noor Azlan.

Beliau berkata pelajar ‘Generasi Y’ mempunyai banyak sumber untuk mendapatkan ilmu, berbeza dengan pelajar 20 tahun lalu. Cara mereka belajar dan menguruskan hal seharian mereka juga berbeza daripada generasi sebelum mereka. Dengan itu mereka menjangkakan bahawa pensyarah mereka juga perlu celik teknologi moden seperti mereka.

Prof Noor Azlan menyebut fenomena budaya yang takut dengan perubahan yang telah berakar umbi di Malaysia, terutamanya dalam sektor pendidikan dan serta juga universiti di seluruh Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua staf akademik dan bukan akademik UKM tidak perlu berfikiran negatif terhadap perubahan dan memberi jaminan bahawa perubahan dalam UKM tidak akan menyebabkan kakitangan akan hilang pekerjaan.

“Apabila pengurusan membuat perubahan dan penstrukturan semula, janganlah fikir yang bukan-bukan. Kami cuba untuk meningkatkan perkhidmatan dan program di UKM bagi para pelajar kita dan apabila pelajar kita berjaya dengan baik, UKM juga akan mendapat nama baik,” katanya.

Dengan menerima perubahan, kakitangan akademik mesti bersedia dan mampu menjadikan jabatan mereka lebih mantap dan unik supaya pelajar akan terus menjadikan UKM sebagai pilihan pertama mereka.

“Apa yang membuatkan UKM, fakulti atau jabatan kita unik hinggakan sebagai seorang pelajar, apabila memohon masuk ke universiti, akan segera memilih UKM? Ini adalah apa yang kita sasarkan,” kata Prof Noor Azlan.

Hampir semua kakitangan akademik UKM telah menghadiri kongres dua hari itu yang telah diadakan pada tahun ini kerana kesempitan masa penjadualan pada akhir 2013. Kongres Pengajaran dan Pembelajaran UKM 2014 akan diadakan lewat tahun ini.