Keadaan Cuaca Akan Kembali Normal Pertengahan Bulan Ini

ISNIN, 10 MAC 2014 10:36

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2014 – Keadaan cuaca negara dijangka kembali normal mulai pertengahan bulan Mac hingga April ini dengan peningkatan hujan, kecuali negeri Sarawak yang tidak mengalami keadaan kekurangan hujan.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi,  Dr Muhammad Helmi Abdullah berkata keadaan jerebu juga akan pulih dengan pertambahan hujan.

Beliau telah menyampaikan butiran itu hari ini untuk memberi gambaran bahawa keadaan kemarau yang dihadapi petani sekarang tidak akan bertambah buruk seperti yang disangkan sesetengah pihak.

Portal Berita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diundang khas oleh penganjurnya, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) untuk hadir di taklimat oleh Dr Helmi itu.

Bulan Febuari lepas tercatat sebagai bulan paling kurang menerima hujan berbanding bulan-bulan Februari lalu sejak tahun 1980.

Beliau berkata walaupun keadaan kemarau sekarang adalah yang paling teruk sejak tahun 1979-1980, merosotnya hujan telah diduga bagi penghujung Monsun Timur Laut sekarang yang akan berakhir pada pertengahan bulan ini.

“Terdapat julat tinggi dengan kebanyakkan kawasan di Semenanjung Malaysia menerima kurang dari 80 peratus hujan dari yang biasa manakala Sarawak pula mengalami kekurangan 60 peratus dengan Sabah terus menerima lebihan hujan. Jadi tiada masalah kekurangan air di Sabah atau Sarawak,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Dr Che Gayah Ismail berkata sebanyak 40 buah lagi stesen cuaca automatik akan dibina di setiap daerah di seluruh negara menjelang akhir tahun ini menjadikan sejumlah 148 stresyen berada diseluruh negara bagi membantu ketepatan ramalan cuaca dan keperluan pembangunan.

Datuk Che Gayah berkata lebih banyak pencerapan cuaca dapat dilakukan dan akan membolehkan ramalan yang lebih tepat. Projek itu sedang dilaksanakan dengan bajetnya telah pun diterima.

Selain membantu ketepatan ramalan, ia juga satu keperluan pembangunan misalnya pertanian secara besar-besaran memerlukan banyak maklumat cuaca untuk kajian feasibiliti dan usaha menanam.