Remaja Perlu Amalkan Budaya Boleh Berhujah

KHAMIS, 06 MAC 2014 08:10

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Mac 2014 – Orang ramai, khasnya remaja, mesti menanamkan budaya boleh berhujah dengan minda terbuka supaya mereka dapat menimbang idea dan cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata remaja harus elakkan daripada menjadi pengikut atau penyokong yang membuta tuli tanpa berfikir secara mendalam mengenai apa yang mereka percaya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pandangannya di Persidangan Kepimpinan Belia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini sebagai anggota panel Bicara Tokoh yang membincangkan tajuk Idealisme, Hala Tuju dan Cabaran Belia Malaysia. Perbincangan itu dianjurkan bersama oleh UKM  dan Yayasan Pendidikan Cheras.

Khairy berkata remaja mesti menolak budaya fitnah-memfitnah orang kenamaan tanpa memeriksa dahulu kesahihan dakwaan yang dilemparkan.

“Kita jangan meremehkan tuduhan melalui internet kerana ia sering amat kritikal tanpa mempunyai alasan kukuh. Kebebasan itu mesti datang dengan budaya berhujah. Itulah tandanya tamadun maju dan budaya berilmu,” katanya.

Khairy menyeru belia supaya tidak terlalu prasangka sehinggakan boleh mempengaruhi pandangan melulu. Belia juga harus mempunyai semangat kenegaraan.

Beliau juga melahirkan rasa simpati dengan siswazah dan graduan universiti yang merungut sukar mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Kita tidak boleh cakap mengenai memenuhi potensi selagi tidak dapat mengatasi masalah. Kita harus mewujudkan peluang pekerjaan, menangani kos sara hidup yang kian meningkat dan persekitaran yang kondusif,” tambah beliau.

Khairy bagaimanapun mengingatkan remaja supaya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan yang mempunyai sumber terhad.

Turut menyertai persidangan itu ialah Juara Pencetus Ummah pertama Muhammad Hafiz Mohd Haneefa serta Pensyarah Sains Politik UKM Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.

Pelajar-pelajar dari beberapa universiti awam tempatan dan sekolah menengah menghadiri persidangan dan perbincangan itu.